KUALA LUMPUR 25 Feb. – Acara EPL@Utusan menjadi kunci terhadap penyatuan rakyat Malaysia biarpun berlainan ‘jiwa’ apabila menghimpunkan kira-kira 1,000 penyokong Manchester United dan Liverpool di bawah satu bumbung bagi menyaksikan perlawanan kedua-dua kelab gergasi Inggeris itu, semalam.
Sekalipun United dan Liverpool sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam, namun, penyatuan penyokong kedua-dua kelab yang menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi di Dewan Utusan di sini wajar diberi pujian berlandaskan minat yang sama iaitu bola sepak.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Faszz, Datuk Ishak Mohd. Ishtiaq berkata, pihaknya berasa amat berbangga dapat bekerjasama dengan penganjur Utusan Malaysia dalam menjayakan acara tersebut dan bersedia berganding bahu sekali lagi jika berpeluang.
“Kita dapat lihat hari ini pelbagai kaum, generasi dan latar belakang berhimpun semata-mata mahu menyaksikan perlawanan yang paling dinanti-nantikan ini. Kami (Faszz) sebagai penaja utama amat berbangga dapat menjayakan EPL@Utusan.
“Kami juga sudi untuk bekerjasama dengan Utusan jika berpeluang kerana kami dapat melihat penyatuan rakyat Malaysia menerusi acara sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Untuk makluman, Faszz merupakan sebuah syarikat perkhidmatan e-hailing. Berbeza dengan perkhidmatan e-hailing lain yang semakin kurang memberi insentif kepada pemandu, Faszz yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera sebaliknya menyediakan insentif, insurans serta perlindungan kepada pemandu berdaftar.
Turut senada, Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo yang menyatakan EPL@Utusan adalah selari dengan kempen pemasarannya menerusi portal Shopee For Men.
“Shopee dapat melihat kepentingan menyediakan dan memenuhi keperluan membeli-belah kaum lelaki. Ini salah satu sebabnya kami melancarkan portal Shopee for Men dalam aplikasi kami, selain menjadi penaja utama Piala FA dan Rakan Strategik EPL@Utusan. Kami harap dapat berkerjasama sekali lagi menerusi aktiviti Utusan pada masa depan,” ujarnya.










