KUALA LUMPUR 31 Jan. – Petron Fuel International Sdn. Bhd. (Petron) enggan mengulas tentang 20 pengusaha francais stesen minyak Petron dikatakan akan ‘ditamatkan kontrak’ atas pelbagai alasan tidak munasabah.
“Kami tiada kenyataan untuk mengulas hal tersebut,” ujar wakil Petron yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan untuk segera campur tangan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengusaha francais stesen minyak negara ini yang didakwa terus didiskriminasi oleh francaisor.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima banyak aduan membabitkan pelbagai masalah seperti isu pengedaran dan pengurusan stesen minyak yang sudah berlarutan begitu lama tanpa penyelesaian menyeluruh.
Terbaharu, apabila 20 pengusaha francais stesen minyak Petron dikatakan akan ‘ditamatkan kontrak’ atas pelbagai alasan tidak munasabah, yang mana ada dalam kalangan mereka telah menguruskan stesen minyak lebih 20 tahun dan merekodkan jualan lebih daripada purata jualan.
Nadzim turut mendesak agar perjanjian melibatkan francaisor stesen minyak dan francaisi dikaji semula.
Dalam pada itu, seorang pengusaha stesen minyak Petron, Kamaruddin Atan berkata, pihak Petron telah menamatkan kontrak perjanjian pada 16 Januari lalu dengan alasan Service Station License Agreement (SSLA) tidak akan diperbaharui.
Dakwa beliau, pihak Petron menggunakan SSLA sebagai alat untuk menyingkirkan pengusaha-pengusaha yang tidak mematuhi kehendak mereka.
“Saya telah mengusahakan stesen minyak Petron di Taman Muda, Ampang selama hampir 20 tahun dari awal penubuhan sehingga kini. Saya tidak tahu mengapa kontrak saya ditamatkan memandangkan saya telah mematuhi segala syarat ditetapkan Petron menerusi surat yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2018.
“Tiba-tiba saya menerima surat penamatan kontrak pada 17 Disember 2018 dan dipaksa mengosongkan stesen tersebut pada 16 Januari lalu. Saya rasa tidak adil bagi pihak Petron untuk menamatkan SSLA dengan cara begini,” katanya.











