Graduan banyak, namun majikan masih lagi berhadapan dengan masalah kekurangan bakat.
Itu antara keputusan diperoleh hasil daripada kaji selidik yang dijalankan oleh portal pencarian pekerjaan dalam talian, Jobstreet.com dua minggu lalu.
Situasi itu bukanlah sesuatu yang asing pada waktu ini. Ia bukan sahaja berlaku terhadap graduan yang baru menamatkan pengajian, malah mereka yang sedang bekerja dan mencari peluang-peluang baharu juga seakan-akan buntu dengan pasaran pekerjaan ketika ini.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran negara pada November 2018 kekal 3.3 peratus sejak September 2018. Bilangan penganggur yang direkodkan pula adalah seramai 516,200 orang, naik 2.2 peratus berbanding November 2017.
Jika dilihat di portal Jobstreet itu sendiri, lebih 20,000 pekerjaan ditawarkan dalam pelbagai bidang. Persoalannya di sini adakah pencari pekerjaan yang terlalu memilih atau majikan itu sendiri yang meletakkan jangkaan tinggi terhadap bakal pekerja mereka?
Landskap pekerjaan berubah
Landskap pekerjaan bagi 2019 dijangka berubah dengan 96 peratus majikan dijangka terus memberi tumpuan kepada pengambilan bakat berkemahiran tinggi khususnya dalam segmen digital serta teknologi maklumat. Jadi adakah masih terdapat peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan graduan yang bukan daripada bidang teknologi?
Bidang teknologi itu pula luas ruangnya, tambahan pula dalam era ekonomi digital dan revolusi industri 4.0 (IR4.0), antara bidang kemahiran yang sangat dikehendaki majikan adalah pemasaran digital, perisian dan pembangunan aplikasi, e-dagang, ‘big data’ dan analisis serta kemahiran pangkalan data.
Disebabkan dua situasi ini, jumlah pekerja mahir juga akan menjadi terhad dan persaingan bagi merebut peluang pekerjaan pastinya bertambah sengit.
Bagi kalangan pencari pekerjaan pula, harus diingatkan kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin anda akan terus diterima untuk bekerja di sesebuah organisasi.
Kemampuan bekerja
Dalam dunia serba mencabar hari ini, selain pencapaian akademik antara ciri utama yang dinilai majikan termasuklah kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, keupayaan bekerja secara berdikari, bersedia untuk belajar dan kemampuan bekerja di bawah tekanan.
Golongan pencari pekerjaan terutamanya mereka yang baru tamat pelajaran harus sedar yang dunia pekerjaan hari ini sememangnya menuntut elemen-elemen yang mampu menjadi nilai tambah terhadap kualiti hasil kerja.
Namun, di sebalik keterujaan majikan mencari bakat-bakat baharu yang memiliki kemahiran-kemahiran lain dalam dunia serba digital hari ini, mereka juga perlu sedar dan tahu betapa perlunya diberi peluang kepada pekerja sedia ada bagi meningkatkan kemahiran menerusi penyediaan latihan yang mampu menepati kehendak pasaran.
Ini semua adalah penting bagi memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelaksanaan ekonomi digital dan IR4.0.











