JOHOR BAHRU 2 Feb. – Rakyat dapat melihat bahawa kerajaan hari ini sangat mengelirukan dan tidak benar-benar yakin kemampuan menteri-menteri yang dilantik.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Joni Muhamat Yahya berkata, keadaan tersebut dapat lihat contohnya dalam membuat keputusan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kerajaan dilihat teragak-agak membuat keputusan contohnya pembinaan projek ECRL. Ini kerana ECRL adalah rancangan dan projek kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu. Mereka masih takutkan bayang-bayang BN.
“Sebagai pencetus sosioekonomi utama Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), ECRL diunjurkan berupaya mengangkat tahap kesalinghubungan antara kawasan industri, pusat ekonomi dan pelabuhan di samping menawarkan pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang.
“Projek ini juga akan memberi akses lebih baik kepada 10 hab industri di pantai timur dan merapatkan jurang ekonomi berasaskan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta menyalurkan nilai modal lebih tinggi ke ECER,” katanya dalam kenyataan di sini sebentat tadi.
Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, keputusan perbincangan mengenai projek ECRL itu akan diumumkan secepat mungkin dan ketika ini masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.
Laporan Reuters kelmarin mendakwa China menawarkan untuk mengurangkan hampir separuh kos pembinaan ECRL bernilai AS$20 bilion dalam usaha menyelamatkan mercu tanda projek pembangunannya di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, kenyataan bercanggah beberapa menteri Malaysia membuatkan hasil tawaran terbaru itu menjadi tanda tanya sekali gus mendedahkan status ERCL dan cabaran politik serta diplomatik yang dihadapi kerajaan dalam perundingan semula kontrak terbabit.
Joni Muhamat berkata, projek mega inisiatif BN itu akan menjadi tunjang utama rangkaian infrastruktur pelbagai mod pengangkutan ECER dan menjadi pelengkap kepada lebuh raya sedia ada seperti Lebuhraya Pantai Timur dan Laluan Pantai Timur KTMB dan pelabuhan-pelabuhan.
“Pembinaan projek ECRL dijangka mengambil masa tujuh tahun dan pastinya memberikan banyak manfaat kepada rakyat,” ujar Penolong Bendahari Pemuda UMNO Johor itu. – UTUSAN ONLINE











