SEBERANG PERAI – Dua nelayan tempatan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Muda dekat Penaga, Kepala Batas di sini selepas sebuah bot fiber yang dinaiki mereka tidak pulang ke jeti sejak semalam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut yang dikendalikan oleh nelayan, Yashir Abd. Hamid bersama seorang awak-awak telah keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda di sini kira-kira pukul 4 petang semalam, namun dilaporkan tidak pulang sehingga kini.
“Seorang wakil Persatuan Nelayan Kuala Muda berkata, kedua-dua nelayan itu dikatakan sering menangkap ikan di sekitar kawasan utara negeri ini dan akan pulang ke pangkalan kira-kira pukul 11 malam pada hari yang sama.
“Justeru, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus aduan diterima,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, aset-aset daripada Pasukan Polis Marin Batu Uban di George Town dan bot-bot nelayan tempatan turut terlibat dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, Hamizan turut menyeru orang awam agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626 146. – K! ONLINE











