SEREMBAN 4 Feb. – Dua terbunuh apabila tercampak keluar dari kereta yang dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 265.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi ini.
Mangsa kemalangan yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Wan Nur Syazliza Wan Nasharuddin, 19, dan Nor Iman Danish Abdul Azim, 5.
Kedua-dua mereka yang menaiki kereta Proton Persona tercampak keluar dari kenderaan itu selepas dirempuh sebuah bas ekspres yang tidak sempat mengelak.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, kereta itu dinaiki seramai lima sekeluarga bersama dua kenalan mereka semasa kemalangan tersebut berlaku.
“Kenderaan itu dipandu oleh Nurulhuda Ramli, 36. Ketika kejadian kereta itu dinaiki empat anaknya, Nor Iman Danish, Mohd. Hakimi, 12, Mohd. Amirul Danish, 9, dan Dewi Aleesya Aulia berusia 7 bulan.
“Dua lagi penumpang kereta itu ialah Wan Nur Syazliza dan Puteri Rufaidah Zahlan, 17, yang merupakan kenalan mereka. Mereka dipercayai dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke Port Dickson ketika kejadian itu berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kemalangan kira-kira pukul 1.50 pagi itu dipercayai berlaku apabila Persona yang sedang bergerak di lorong kedua dari kanan itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya berkenaan.
Jelasnya, kereta itu kemudian berpusing beberapa kali sebelum terhenti secara melintang di antara lorong kedua dan ketiga lebuh raya tersebut sebelum dirempuh oleh sebuah bas ekspres.
Tambahnya, rempuhan itu menyebabkan kereta itu berpusing manakala Wan Nur Syazliza serta Nor Iman Danish tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Ibrahim memberitahu, seramai 29 pemandu dan penumpang bas yang dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Johor Bahru tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk bagi bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dewi Aleesya Aulia dimasukkan ke zon merah manakala Nurulhuda, Mohd. Amirul Danish, Puteri Rufaidah dan Mohd. Hakimi dimasukkan ke zon kuning di HTJ,” ujarnya.










