RAUB 25 Feb. – Dua beranak maut selepas kenderaan jenis Myvii yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32 Jalan Raub – Mempaga di sini hari ini.
Mangsa yang maut dalam kejadian pada pukul 11.45 oagi itu ialah pemandu kereta, Siti Farhana Othman, 25, dan ibunya, Ramlah Saad, 60, yang berada di tempat duduk belakang manakala bapanya di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis daerah, Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian mangsa bersama ibu dan bapanya dalam perjalanan dari arah Bentong ke Felda Lembah Klau di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dipandu dengan laju terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.
“Pemandu dan penumpang belakang kereta jenis Myvii meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, penumpang hadapan kereta jenis Myvi mengalami kecederaan parah manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax mengalami kecederaan ringan. – UTUSAN ONLINE










