MARAN 9 Feb. – Seorang ibu tunggal dari Perumahan Kilang Sawit Jengka 8 di sini berdepan ujian getir untuk menguruskan dan menampung kos perubatan dua anaknya yang mengalami masalah jantung berlubang.
Normala Syakila Arman, 21, perlu menguruskan Muhammad Haraz Asyraf Abdul Hafiz berusia setahun dan Muhammad Hariz Asyraf (dua bulan) yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.
Muhammad Hariz Asyraf turut mengalami bengkak hati dan terpaksa minum menggunakan tiub.
Normala Syakila yang tidak bekerja berkata, dia kini menetap di rumah ibu dan bapanya di kawasan perumahan tersebut selepas berpisah dengan suaminya.
“Muhammad Haraz Asyraf sebelum ini mempunyai tiga lubang pada jantungnya yang mana dua daripadanya telah dirawat manakala Muhammad Hariz Asyraf mempunyai satu lubang dan akan membuat rawatan pada 28 Februari ini.
“Saya memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan makanan dan kos rawatan kedua-dua anak ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Normala Syakila, dia kini menerima bantuan zakat RM1,000 namun jumlah itu tidak mencukupi kerana terpaksa ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh bagi mendapatkan rawatan anaknya.
“Saya tidak boleh bekerja kerana menjaga dua anak ini dan mengharapkan pertolongan keluarga untuk menjalankan urusan seharian,” ujarnya.
Tambahnya, ibu dan bapanya juga tidak mampu menampung kos rawatan dua anaknya itu kerana mereka perlu menguruskan empat lagi adik yang masih bersekolah.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan secara terus ke akaun Bank Islam 06037023296993 atas nama Normala Syakila.











