MONACO 19 Feb. – Kebangkitan semula Novak Djokovic selepas ditimpa kecederaan, tahun lalu, dan memenangi dua gelaran Grand Slam melayakkan bintang tenis Serbia itu memenangi Anugerah Olahragawan Tahunan Laureus, hari ini.
Pemain berusia 31 tahun itu memenangi Terbuka Australia, Januari lalu, selepas merangkul gelaran di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas. Kejayaannya itu dilakar selepas pulih daripada pembedahan siku.
Djokovic memenangi anugerah itu buat kali keempat setelah mengetepikan pemenang Piala Dunia Perancis, Kylian Mbappe dan juga bintang NBA, LeBron James.
Berita berkaitan:
Ikon gimnastik Amerika Syarikat, Simone Biles pula merangkul gelaran Olahragawati Terbaik buat kali kedua selepas kejayaan bersejarah atlet berusia 21 tahun itu, tahun lalu, apabila memperoleh kejayaan pada Kejohanan Dunia dalam acara keseluruhan buat kali keempat.
Djokovic menerima 68 undian daripada anggota Akademi Laureus yang terdiri dalam kalangan legenda sukan seperti juara Grand Slam sembilan kali, Monica Seles dan juga pemenang pingat emas acara trek berbasikal pada Sukan Olimpik sebanyak enam kali, Chris Hoy.
“Tahun lalu adalah musim mengagumkan buat saya, kembali daripada kecederaan untuk memenangi Wimbledon dan juga Terbuka AS adalah sesuatu yang akan diingati selamanya,” kata Djokovic.
Seles, yang juga dilahirkan di Serbia menyampaikan anugerah kepada Djokovic, yang mengakui berdepan dengan laluan sukar secara mental dan fizikal.
“Mengimbau kembali pencapaian saya apabila berdiri di sini, ia kelihatan seperti kisah dongeng tetapi ia memberikan saya satu perkara. Saat di mana anda berdepan cabaran dan halangan, anda perlu melihat ke dalam diri sendiri. Saya tak memahami sepenuhnya sebelum ini tetapi kini saya tahu di mana saya boleh mencari kekuatan dan keyakinan,” ujarnya. – AFP











