DJ Radio Klasik kena jaga imej - Utusan Malaysia

DJ Radio Klasik kena jaga imej

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI pendengar setia siaran Radio Klasik RTM, saya ingin membuat teguran positif terhadap sikap juruhebah atau DJ stesen tersebut yang saya anggap menyediakan ruangan teka-teki picisan yang memualkan ketika bersiaran.

Umpamanya baru-baru ini, dalam satu siaran sebelah petang, saya dapat mendengar juruhebah Radio Klasik membuat teka-teki lebih kurang berbunyi: “Apa benda yang bersusah payah dicari, tetapi apabila dapat dibuang sahaja.”

Sebaik sahaja selesai juruhebah membacakan teka-teki itu, maka bertalu-talu pendengar membuat panggilan menerusi telefon ke Radio Klasik sambil memberikan jawapan masing-masing.

Selepas banyak menerima pelbagai jawapan daripada pendengar, juruhebah yang cuba ‘memperbodohkan’ pemanggil dan pendengar itu akhirnya memberikan jawapan muktamad yang ternyata mengejutkan.

Terkejut bukan disebabkan jawapan yang bernas, tetapi kerana jawapannya ialah berupa ‘sisa kotoran daripada dalam tubuh manusia’ sekali gus membuatkan sekalian pendengar Radio Klasik yang minum petang sama ada di rumah atau restoran kembang tekak meloya apabila mengetahui jawapan teka-teki itu.

Justeru diharap juruhebah berkenaan perlu membuat teka-teki menepati piawaian yang kedengaran lebih cerdik sekali gus perlu menjaga imej stesen nombor satu Radio Klasik kerana ini bukan stesen penyiaran swasta.

Pihak atasan pengurusan Radio Klasik juga diharap dapat menyiasat dan menasihatkan juruhebah muda yang tidak beretika ketika ke udara itu kerana perbuatannya ternyata menjejaskan imej stesen berkenaan.

PENDENGAR RADIO

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN