KUALA LUMPUR 1 Feb. – Anih Berhad, syarikat konsensi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menawarkan potongan 10 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang melalui lebuh raya berkenaan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Selasa ini.
Anih Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, pemberian diskaun itu bermula antara pukul 12.01 pagi Selasa (5 Februari) dan 11.59 malam Selasa (5 Februari).
Menurut kenyataan itu, Anih Berhad turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan kepada pengguna yang ingin kembali pulang bercuti ke pantai timur.
“Pengguna perlu mengelak memasuki Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari serta 9.30 malam dan 12 tengah malam pada 2 dan 3 Februari ini bagi mengelakkan kenderaan bertembung dengan waktu perjalanan bas ekspres yang memasuki plaza tol sama pada waktu itu.
“Pengguna juga disarankan memasuki Plaza Tol Gombak dan semua plaza tol antara pukul 12 tengah malam dan 6 pagi bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan,” kata kenyataan itu.
Pengguna KLK dan LPT yang ingin mengetahui lanjut tentang perkara itu boleh merujuk ke laman sesawang Anih Berhad dan pengguna disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-Wallet RFID mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
Untuk makluman, lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go di plaza tol KLK dan LPT1 akan beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelak kesesakan di plaza tol.
“Maklumat lanjut boleh diperolehi di talian LPT 09-5479111 yang beroperasi 24 jam atau aplikasi Twitter @LPTTrafik atau Facebook Lebuhraya Pantai Timur,” katanya. – UTUSAN ONLINE










