PULAU PINANG 26 Feb. – UMNO negeri ini melahirkan rasa kesal dan sedih dengan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melabelkan parti itu sebagai parti kafir.
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai keterlaluan, Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kenyataan tersebut juga tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi negara terhadap lawan politiknya.
Apatah lagi, tambah beliau, Dr. Mahathir sendiri pernah menjadi ahli dan mengetuai UMNO selaku Presiden berpuluh-puluh tahun lamanya.
“Apakah beliau mahu mengakui sepanjang menjadi ahli dan Presiden UMNO berpuluh-puluh tahun itu, beliau juga sebenarnya sedang mengetuai sebuah parti politik yang kafir?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri kelmarin ketika mengulas mengenai kerjasama dan gabungan Pas serta UMNO dalam mana-mana pilihan raya.
Sambil menyifatkan Pas sebagai parti Islam dan UMNO sebagai parti kafir, Dr. Mahathir menegaskan, keutamaan kedua-dua parti tersebut khususnya Pas bukan kerana Islam sebaliknya hanya hendak menang pilihan raya semata-mata.
“Tidak mengapa, Pas parti Islam dan UMNO parti kafir, biar mereka bersatu lawan PH. Kita sanggup hadapi pakatan Islam dan kafir ini,” kata Dr. Mahathir seperti laporan berita sewaktu ditemui di Pulau Langkawi kelmarin.
Dalam pada itu, Musa berkata, Dr. Mahathir sepatutnya lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang label kepada Pas atau UMNO apatah lagi kedua-dua parti tersebut merupakan parti terbesar orang Melayu dan umat Islam.
Katanya, melabelkan parti orang Melayu dan umat Islam dengan panggilan kafir adalah secara terang-terangan mengguris hati ahli-ahli UMNO yang selama ini bermati-matian memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam. – UTUSAN ONLINE











