TUMPAT – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan Pas membangkitkan rancangan menggulingkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri oleh parti komponen Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu terima dana RM90 juta daripada UMNO.
Katanya, tindakan itu juga menunjukkan Pas sebuah parti ‘flip-flop’ kerana ia pernah membantah pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri andai PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Sebelum PRU14, Pas kata, kalau Tun Dr. Mahathir kembali sebagai perdana menteri, dia boleh mengancam keselamatan kepada negara tapi hari ini kamu (PAS) pula yang mempertahankan Tun Dr. Mahathir.
“Pas sekarang dilihat bersikap ‘flip-flop’, sentiasa berubah-ubah (pendirian) kadang-kadang sampai kepada peringkat pembohongan bersandarkan kepada agama. Bagi saya ini adalah sesuatu yang sangat tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Program Koordinator Keselamatan (OSH-C) Siri 1, 2019 Peringkat Negeri Kelantan di Kilang Keropok Mok Wan, Jalan Tanjung Kuala yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kelantan Abdul Aziz Salim di sini, hari ini. – Bernama










