HULU LANGAT 25 Feb. – “Kerajaan! dengarlah rintihan kami penduduk Orang Asli di Semenyih yang serba kurang.”

Begitulah antara luahan hati penduduk Orang Asli di Semenyih ketika ditemui Utusan Malaysia, dalam satu majlis sembang santai Pakatan Harapan (PH) petang semalam.
Mereka sebenarnya tidak minta banyak, hanya perhatian daripada kerajaan terhadap komuniti berkenaan, sama seperti yang pernah dilakukan kerajaan Barisan Nasional suatu masa dahulu.
Tok Batin Kampung Sungai Lalang Baru, Aleh Abdullah, 53, berkata, sebagai pemimpin komuniti, dia berharap kerajaan dapat menangani isu balai raya rosak, jalan raya berlubang, baiki rumah-rumah penduduk yang rosak dan menangani isu pengangguran golongan belia di situ.
“Saya harap kalau PH menang, baikilah balai raya, rumah buruk dan pejabat selain turap jalan di kampung-kampung kami,” katanya.
Seorang penduduk, Intan Angguk, 38, dia berharap kerajaan dapat
membantu masyarakatnya berupa barang-barangan dapur setiap bulan.
Katanya, pendapatan kerja kampung sangat kecil dan tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi pada waktu ini.
“Saya tak ada nak minta apa-apa. Kalau ada elaun, barang dapur pun sudah baik. Kami kerja kampung saja,” katanya.
Sementara seorang lagi penduduk, Kuin Semang, 48, memberitahu, dia berharap kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Orang Asli di sini terutamanya kepada golongan muda.
Katanya, dia juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan subsidi baja, benih pokok dan membuka kebun bagi memberi peluang pekerjaan kepada orang kampung.
“Saya ada empat orang anak. Dulu, ada juga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Sekarang, melalui Bantuan Sara Hidup (BSH), bantuan banyak kurang,” ujarnya.
Penduduk warga emas, Itam Wai, 60, pula berkata, kerajaan boleh memberi bantuan kewangan untuk golongan warga emas sepertinya.
“Kami sudah tua. Tak mampu buat kerja-kerja kampung lagi.Sebagai penoreh getah, pendapatan saya sangat kurang sejak harga getah jatuh. Hidup kami susah,” katanya.-UTUSAN ONLINE










