KUALA LUMPUR 16 Feb. – Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan dakwaan sebanyak 100,000 bekas ahli UMNO di negeri itu bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, jumlah terkini ahli parti selepas proses pemutihan dan bancian yang dibuat baru-baru ini ialah lebih 500,000.
“Saya berasa hairan dengan dakwaan ini dan dari mana munculnya jumlah 100,000. Ini kerana jumlah ahli UMNO ialah sebanyak 500,050 manakala sebanyak 38,000 pula adalah mereka yang meninggalkan parti termasuk meninggal dunia.
“Data ini diperoleh selepas bancian dan proses pemutihan dibuat di 25 kawasan Parlimen di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendakwa kira-kira 100,000 bekas ahli di UMNO Sabah bakal menyertai Bersatu selepas parti yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu membuat keputusan masuk ke negeri tersebut.
Jumlah itu termasuklah lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengumumkan keluar UMNO pada Disember 2018. – UTUSAN ONLINE










