Dapat reaksi negatif - Utusan Malaysia

Dapat reaksi negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Cadangan kerajaan mahu menghapuskan kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi mendapat reaksi negatif kerana langkah itu dilihat tidak memberi manfaat kepada pengguna secara keseluruhan.

Sebaliknya, adalah lebih baik kadar tol dikurangkan terus untuk tempoh 24 jam yang pastinya akan dapat dinikmati oleh semua lapisan pengguna, berbanding cadangan penghapusan kutipan tol antara pukul 11 malam hingga 5 pagi dan diskaun 30 peratus pada waktu bukan puncak.

Presiden Institut Antarabangsa mengenai Strategi Pe­ngurusan Risiko dan Krisis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Rasid Hussin berkata, penstrukturan kadar tol yang tidak memberi manfaat penuh akan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus dikecam rakyat.

“Rakyat akan melihatnya sebagai tindakan dan pemberian yang tidak ikhlas. Sepatutnya 24 jam (kurangkan kadar tol). Walaupun sedikit tapi yang penting ada pengurangan untuk tempoh 24 jam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan cada­ngan memansuhkan kutipan tol kepada caj kesesakan pada waktu puncak serta mengenakan diskaun 30 peratus pada waktu biasa dan bebas tol dari pukul 11 malam sehingga 5 pagi di empat lebuh raya iaitu Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Cadangan itu akan dilaksanakan apabila kerajaan Harapan (PH) selesai mengambil alih konsesi empat lebuh raya tersebut yang kini dikuasai oleh Gamuda Berhad.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi Majlis Perun­dingan Melayu, Hasan Hamzah berkata, berdasarkan pemerhatiannya, rakyat rata-rata mengharapkan penstrukturan kutipan tol yang lebih baik.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat mungkin perlu memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, namun pada masa sama kerajaan sepatutnya berhubung dengan rakyat sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kalau itu sudah pilihan terbaik yang mampu dilakukan, rakyat kena terima. Namun apa-apa dasar jangan dibuat terburu-buru. Sepatutnya berhubung dengan rakyat terlebih dahulu, misalnya mendapatkan panda­ngan menerusi pelbagai platform laman media sosial,” katanya.

Padangan sama turut disuarakan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Sela­ngor, Nasiruddin Mohamed kerana melihat waktu antara 11 malam hingga 5 pagi adalah masa pengguna berehat, namun tidak menafikan ada pengguna mendapat manfaat sekiranya tol dikecualikan pada masa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN