Dakwaan tak berasas - Utusan Malaysia

Dakwaan tak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 22 Feb. – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Ama­nah), Datuk Salahuddin Ayub menyifatkan dakwaan wujud undi tidak percaya dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, dakwaan tersebut dilihat sebagai usaha Pas untuk cuba memecahbelahkan kerajaan PH.

SALAHUDDIN AYUB
SALAHUDDIN AYUB

Katanya, isu tersebut tidak pernah berbangkit sebaliknya semua pihak sentiasa bersama Dr. Mahathir kerja siang dan malam untuk kepentingan rakyat serta negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rakyat tak nak dengar Dr. Mahathir jatuh atau tidak, siapa ganti dia, sebaliknya rakyat hendak tengok apa kerajaan bo­leh buat membantu mereka.

“Rakyat nak dengar apa pengumuman seterusnya, be­ri­ta gembira, perubahan yang boleh ditumpang. Itu yang kita fikir siang dan malam untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat nege­ri ini di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pendirian Pas untuk menyokong kepemimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri juga sukar dipercayai.

Katanya, hal demikian kerana kepemimpinan tertingginya selalu mengeluarkan kenya­taan ‘berpusing-pusing’.

“Sedangkan Dr. Mahathir sendiri tidak percaya dengan pendirian Pas itu apatah lagi kita. Pas ini parti yang cakap berpusing-pusing, hari cakap lain, esok cakap lain. Sukar hendak duga,” katanya.

Sementara itu ketika me­ngu­­­las mengenai kenyataan Da­tuk Seri Abdul Hadi Awang ba­hawa DAP dan PKR tidak ber­sungguh-sungguh membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Salahuddin mendakwa, Presiden Pas itu bercakap bohong dalam soal tersebut.

Katanya, sepanjang tempoh kempen, rata-rata pemimpin parti komponen PH turun padang membantu calon Bersatu.

“Saya yakin dengan kerja ku­at tiada masalah untuk PH me­ngekalkan kemenangan di­ Semenyih. Malah kerjasama­ Pas­ dan UMNO juga lebih me­ng­untungkan kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini