Daisy popular selepas diejek - Utusan Malaysia

Daisy popular selepas diejek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertama kali diberikan peluang berlakon, Daisy Shah sudah digandingkan dengan hero Salman Khan dalam filem Jai Ho yang ditayangkan lima tahun lalu. Namun ketika itu, tidak ramai peminat dunia Bollywood bercakap tentang dirinya.

Bagaimanapun selebriti yang berusia 34 tahun ini tiba-tiba disebut-sebut apabila sekali lagi digandingkan dengan aktor bertubuh sasa itu.

Ironinya, kali ini warganet memperkatakan tentang dialog yang diungkap Daisy dalam filem lakonannya, Race 3.

Tambah lucu, dialog yang berbunyi “perniagaan saya adalah perniagaan saya, bukan perniagaan kamu” itu tular dalam laman sosial dengan beberapa ejekan dan bahan jenaka oleh netizen seluruh India.

Bercakap tentang populariti yang diraih dengan cara sebegitu, Daisy Shah berkata ada dua cara untuk memberi reaksi terhadap ejekan itu. Sama ada memberi reaksi positif atau negatif.

Dia tidak marah malahan tidak kisah jika lakonan mahupun dialognya dijadikan bahan jenaka. Sebaliknya dia senang menanggap ia sebagai perkara positif.

“Saya menjadi lebih popular sejak filem Race 3. Tidak sangka juga dialog itu mendapat perhatian. Tak kurang ramai yang mengajuk. Ajukan mereka satu pengiktirafan kerana membuatkan saya dikenali ramai. Sudah pasti ini menggembirakan!

“Hari ini apabila keluar rumah, orang mungkin tidak kenal saya dengan nama saya. Tetapi mereka kenal saya dengan dialog itu,” katanya kepada para pemberita di Mumbai.

Lebih heboh, pasukan anggota polis Mumbai juga tidak terkecuali menjadikan dialog itu sebagai inspirasi tagline mereka yang berbunyi, “data saya adalah data saya, bukan data awak”.

“Mereka memuat naik status yang menarik dan menyebarkan kepada masyarakat. Sebenarnya mereka cuba menyampaikan mesej kepada anak-anak muda mengatakan yang mereka sangat mesra,” tambah Daisy lagi.

Wanita kelahiran Mumbai ini berkata dek kerana kemunculan pertamanya dalam lakonan kurang mendapat sambutan, dia hanya berlakon sebanyak empat filem sahaja ketika itu.

Daisy sedikit pun tidak malu dengan fakta tersebut kerana dia melihat perjalanan kariernya hari demi hari semakin berada di zon selesa walaupun dia lambat popular.

“Saya datang dari jauh. Ayah seorang pemandu. Saya mencuba nasib di industri semata-mata mahu mencari duit poket. Dari situ saya menjadi penari kemudian sebagai pembantu koreografer, model seterusnya pelakon.

“Setiap cabaran yang dilalui mendapat sokongan daripada orang sekeliling saya dan saya sangat bersyukur. Daripada graf itu rasanya sudah berjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemenang gelaran Miss Photogenic anugerah MS Dombivli ini mengakui dia terhutang budi dengan aktor Salman Khan.

Katanya, ketika dia kurang yakin untuk meneruskan karier sebagai pelakon, aktor itu memberinya semangat dan meletakkan kepercayaan terhadapnya.

“Sebelum ini saya tidak pernah percaya dengan diri sendiri dan kurang keyakinan diri.

“Tetapi seorang bintang terkenal datang dan berkata bahawa dia percaya dengan saya. Dia memberikan semangat. Saya juga tidak mahu mengecewakan dia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN