KUALA LUMPUR 31 Jan. – Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin didakwa cuba ‘mempolitikkan’ Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan memberi gambaran sesuatu yang negatif mengenainya.
Ketua Pusat Perniagaan Sosial Yunus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Lokman Hakiem Osman berkata, konsep kerajaan membantu rakyat seperti BR1M bukanlah perkara baharu malah turut dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia sejak sekian lama.

Tegasnya, kerajaan tidak sewajarnya menganggap usaha membantu rakyat sebagai pembaziran atau melihat sesuatu model itu gagal kerana masih terdapat rakyat di luar sana yang memerlukan pembelaan.
“Pada zaman Ratu Elizabeth rakyat dibantu pada musim sejuk untuk mendapatkan kediaman yang selesa. Namun, kini bantuan berubah mengikut keadaan dan kesesuaian. Isu ini dipolitikkan, lebih malang ia menjadi isu perkauman kerana Melayu paling ramai terima BR1M,” katanya di sini hari ini.
Daim semalam menyifatkan BR1M sebagai candu yang ditagih kebanyakan masyarakat Melayu dan perkara itu seolah-olah menyokong tanggapan umum bahawa orang Melayu adalah bangsa yang pemalas.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff melihat apa yang cuba disampaikan pemimpin veteran itu adalah Daim tidak mahu rakyat melihat BR1M itu sebagai satu ‘jenaka’.
Katanya, manakan tidak, ramai dalam kalangan mereka terima bantuan itu didapati menyalahgunakan dengan berbelanja sesuatu bukan keperluan.











