MANCHESTER 3 Feb. – Pep Guardiola yakin Manchester City mempunyai pemain berkualiti yang mencukupi untuk mengejar defisit mata dalam saingan liga dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah dirasai sebagai pengurus sebelum ini.
Skuad kendalian Guardiola itu akan menerima kunjungan Arsenal dalam aksi liga hari ini dan ketika ini City ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Liverpool dengan baki 14 perlawanan.
City tewas 1-2 kepada Newcastle pada Selasa lalu dan itu merupakan kekalahan keempat mereka dalam sembilan aksi liga.
Mereka turun beraksi tanpa kapten Vincent Kompany yang hanya melakukan enam penampilan dalam aksi liga pada musim ini gara-gara mengalami kecederaan.
Begitu pun, Guardiola menolak dakwaan bahawa dia tidak mempunyai pemain yang bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh pertahanan Belgium itu.
“Sudah pasti kami ada pemain yang mempunyai personaliti untuk berkomunikasi dengan baik namun bukan itu yang menjadi ukuran.
“Saya tidak akan memanggil pemain yang malu, memberi pelbagai ekspresi di atas padang sebaliknya banyak berdiam diri dan tidak bercakap terlalu banyak dengan rakan sepasukan.
“Saya sudah menjumpai pemain yang tidak bercakap satu patah perkataan pun dan saya sudah jumpa pemain yang banyak bercakap di bilik persalinan dengan berkata ‘Saya mahu lakukan itu’, dan selepas memasuki padang mereka berada dalam tekanan dan berkata ‘Saya tidak mahukan bola dan saya tidak mahu bertahan’. Pemain jenis ini banyak,” katanya. – AFP










