MELAKA 24 Feb. – PKR menaruh keyakinan sekiranya calon wanita daripada parti itu diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan tidak lama lagi, ia mampu mencabar kedudukan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada mentaliti rakyat ketika ini yang kian matang memilih Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Saya sentiasa berfikiran positif, ketika PRU sebelum ini, rakyat sudah matang dan menukar kerajaan baharu dan kita yakin jika kita letakkan calon wanita di Rantau, ia mampu memecah tradisi DUN itu yang merupakan kubu kuat BN.
“Atas sebab itu, PKR berharap calon wanita akan diletakkan bertanding di DUN tersebut dan kita percaya walaupun Rantau adalah kubu kuat BN, sokongan rakyat akan beralih kepada PH,” katanya.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, di sini petang ini.
Zuraida baru-baru ini memaklumkan parti berkenaan meletakkan calon wanita di PRK DUN Rantau kerana parti itu mempunyai ramai calon wanita yang boleh diketengahkan.
Menurut beliau, Ketua Angkatan Wanita PKR (Haniza Mohamed Talha) akan mencadangkan nama calon wanita untuk dipertimbangkan bertanding pada PRK kali ini dan pihaknya yakin ia satu dimensi baharu kepada PH di negeri tersebut.
“Semasa saya menjadi ketua wanita, PKR Negeri Sembilan tidak pernah mencalonkan wanita untuk bertanding dan kita harap pada PRK kali ini akan ada peluang untuk itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










