JOHOR BAHRU 24 Feb. – Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan mewajibkan pengambilan suntikan vaksinasi kepada kanak-kanak bagi mengelakkan kematian akibat penyakit yang boleh dielakkan berulang pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kini penyakit yang sukar ditemukan telah kembali muncul akibat daripada tindakan tidak mengambil vaksinasi.
Katanya, sehubungan itu pihaknya menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan suntikan vaksinasi.
“Kita bersetuju cadangan kementerian untuk mewajibkan pengambilan vaksinasi dan mengenakan hukuman serta denda kepada yang mengelak untuk mendapatkan vaksinasi.
“Ini kerana banyak penyakit yang sukar ditemukan kini sudah muncul kembali di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Johor 2019 di pusat beli-belah Paradigm Mall, di sini sebentar tadi.
Pada 21 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun maut disyaki akibat jangkitan difteria dan mangsa tidak pernah menerima sebarang suntikan imunisasi sejak dilahirkan. – UTUSAN ONLINE










