Buruk baik sirih - Utusan Malaysia

Buruk baik sirih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sirih pada waktu dahulu dianggap sebagai snek oleh nenek moyang kita. Sirih bersama kapur, gambir dan buah pinang akan dikunyah antara waktu makan dan waktu santai. Saya masih ingat sewaktu berusia lima tahun, saya sering menumbuk sirih hingga lumat di dalam gobek kepunyaan arwah moyang yang tidak mempunyai gigi walau sebatang pun. Moyang saya yang saya panggil Tok Ceng akan mengunyah sirih dengan senangnya hingga seluruh mulutnya berwarna merah.

Sirih atau nama saintifiknya Piper Betle berasal dari Malaysia dan boleh juga didapati di Indonesia, India dan Sri Lanka. Sirih adalah sejenis tumbuhan menjalar berdaun hijau dan lebar. Pada zaman dahulu daun sirih bertemu urat sering diberikan kepada pahlawan Melayu untuk semangat sebelum berperang dan juga kepada gadis-gadis supaya naik seri wajahnya. Daun sirih juga dijadikan kemudi hantaran dalam bentuk sirih tepak dan sirih junjung dalam adat perkahwinan Melayu. Daun sirih sering menjadi pilihan sebagai daun penawar menghalang makhluk halus dalam perubatan tradisional.

Secara saintifik dan perubatan moden, daun sirih juga digunakan kerana kebaikan yang ada padanya. Sirih mengandungi minyak pati (essential oil) seperti kadinen, kavikol, sineol, eugenol dan karvakol. Eugenol sangat bermanfaat dalam bidang perubatan gigi kerana sifatnya yang antiseptik, antiinflammatori dan juga mempunyai kebolehan memberi rasa kebas kepada saraf gigi sekali gus mengurangkan sakit gigi. Eugenol ini sering digunakan dalam bahan tampalan sementara gigi bagi menghilangkan sakit gigi yang berlubang.

Daun sirih juga mempunyai kebolehan menghilangkan bengkak. Sifat antiinflammatori daun sirih dapat mengurangkan bengkak gusi dan juga sifat antiseptiknya membunuh kuman pada permukaan gusi dan gigi. Tidak hairan jika ada syarikat ubat gigi yang menggunakan pati sirih sebagai salah satu bahan aktif dalam ubat gigi untuk memanfaatkan khasiatnya.

Selain itu, sirih juga dikatakan dapat mengurangkan pendarahan. Dalam daun sirih terkandung tannin yang bahan bersifat haemostatik dan boleh memberhentikan pendarahan dengan menggalakkan koagulasi darah . Namun tannin yang juga ada dalam daun teh, mempunyai warna yang boleh menyebabkan stain pada gigi. Sebab itulah kita lihat mereka yang mengunyah daun sirih akan mempunyai gigi yang tidak putih.

Dalam pada itu, daun sirih dan air rendaman daun sirih dipercayai dapat menghilangkan bau mulut. Saya percaya ini kerana sifat antikuman yang dimiliki dan juga kebolehan menghilangkan bengkak sekali gus memberhentikan pendarahan dapat membantu penyakit gingivitis yang selalunya memberikan bau busuk pada mulut pesakit.

Ada juga yang mengatakan rebusan air sirih jika dikumur dapat membantu meredakan ulser mulut kerana sifatnya yang menghilangkan sakit dengan memberi rasa kebas boleh membuatkan pesakit berasa sedikit selesa.

Namun, dalam banyak kebaikan daun sirih, ada juga perihal sirih yang tidak enak diceritakan. Mengunyah sirih dikatakan salah satu sebab terjadinya kanser mulut. Sebenarnya bukan daun sirih menjadi risiko penyebab kanser. Kanser mulut ini akibat mengunyah sirih yang disatukan dengan buah pinang (betel nut).

Ramai yang meletakkan buah pinang ini ke dalam sirih kerana ia dikatakan membantu pencernaan, memberikan tenaga serta rasa emosi yang gembira kepada si pemakan. Buah pinang dikategorikan sebagai bahan psycoactive. Berada di tempat keempat selepas nikotin, alkohol dan kafein yang mana bahan-bahan ini boleh membuatkan dalam mulut menjadi kering seterusnya menyumbang kepada masalah gigi berlubang dan juga masalah gusi. Lama-kelamaan akan mengakibatkan oral submucous fibrosis di merata tempat dalam mulut yang akhirnya mulut menjadi ketat dan sukar dibuka.

Begitulah sedikit sebanyak maklumat mengenai sirih serta kesannya kepada kaviti oral. Saya percaya banyak khasiat yang datang daripada sumber alami, namun jika disalah guna dan tidak dikaji dengan betul mungkin boleh membawa kesan negatif. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat pergigian yang tepat dan betul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN