KEMAMAN 17 Feb. – Kesahihan mengenai wujud atau tidak dakwaan mengenai kenyataan bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan diketahui petang ini.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu dijangka akan diketahui sejurus selesai mesyuarat kepemimpinan tertinggi Pas Pusat di Kuala Terengganu petang ini.
“Tak sebut langsung (dakwaan kononnya Pas tidak sokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih. Itu akan dijawab dalam sidang media petang ini (Kuala Lumpur).
“Dijangka selepas pimpinan Pusat adakan perbincangan petang ini. Ia di bawah bidang kuasa Pas Pusat, saya tak nak dahului,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Hak Milik Tanah di Dewan Sri Amar Chukai di sini hari inii.
Dr. Ahmad Samsuri diminta mengulas adakan wujud perbincangan atau kenyataan bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK antara Pas dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan kedua belah pihak kelmarin.
Selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, pertemuan di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur itu turut disertai Dr. Ahmad Samsuri.
Menteri Besar seterusnya berkata, tercetusnya dakwaan bahawa Pas tidak menyokong UMNO disifatkan sebagai perang psikologi sebagaimana kebiasaan setiap kali tiba musim pilihan raya.
“Sekarang ini musim pilhan raya, ini ‘war game’. Tentu ada perang psikologi antara pihak-pihak yang bertanding,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










