SHAH ALAM – Best Western i-City Shah Alam optimistik terhadap pusat beli-belah baharu yang bakal beroperasi Mac ini akan memberi impak positif kepada kedatangan pengunjung untuk turut bercuti di hotelnya.
Pengurus Besar Best Western i-City, Anthony Kong berkata, buat masa ini, kadar penginapan hotel bertaraf tiga bintang itu adalah kira-kira 60 peratus dan mengunjurkan nilai statistik itu bertambah pada tahun ini dan juga tahun depan.
Menurutnya, i-City popular dalam kalangan pelancong kerana memiliki keunikannya tersendiri dan pengalaman menginap di hotel Best Western i-City bakal melengkapkan lagi program percutian mereka.
“Hotel ini sesuai untuk penginapan keluarga dan juga individu yang bekerja, ia lengkap dengan kemudahan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung perkembangan Hotel Best Western i-City di sini baru-baru ini.
Anthony menjelaskan, kadar penginapan dalam kalangan pelancong tempatan ialah kira-kira 60 peratus manakala bakinya daripada pelancong asing dari Jepun, Singapura, Korea, Indonesia dan Thailand serta pelanggan korporat dari Jepun yang bekerja di sekitar Shah Alam.
Tambah beliau, hotel yang mula beroperasi pada tahun 2015 itu memiliki 214 bilik yang terdiri daripada kategori superior, deluxe dan suites.
Selain itu, Anthony menjelaskan, faktor lain yang menyumbang kepada pertumbuhan kadar penginapan hotel tersebut ialah inisiatif promosi harga penginapan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Antara pakej yang ditawarkan ialah kadar RM199 dan ke atas untuk penginapan satu malam di hotel dengan memperoleh dua tiket percuma bagi kemasukan taman tema air di i-City.
“Pakej itu telah diperkenalkan kepada pengunjung pada musim cuti persekolahan sebelum ini dan kami dapati kadar pertumbuhan pelancong naik kepada 20 peratus.
“Sehubungan itu, kami bercadang untuk memperkenalkan pakej yang sama pada musim cuti pada masa depan,” terangnya.
Mengulas mengenai trend pelanggan yang membuat tempahan di platform media sosial, Anthony menjelaskan, ia telah memberi sokongan yang baik kepada jualan tempahan hotel.
Menurut beliau, lebih 30 peratus daripada tempahan dibuat daripada platform berkenaan.










