Bersatu, UMNO-Pas jangan rugikan anak bangsa - Utusan Malaysia

Bersatu, UMNO-Pas jangan rugikan anak bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURUS dan langkah pencak Pas bertambah baik sejak kebelakangan ini.

Dikatakan tidak menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tapi dinafikan 24 jam kemudian – dengan kehadiran beberapa pemimpin kanan parti itu di pusat penamaan calon untuk menyokong Zakaria Hanafi, calon Barisan Nasional (BN).

Walau apa pun taktik Pas kali ini, parti pimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak akan rugi apa-apa. Bahkan, Pas sebenarnya kini menjadi king maker dan pendesak kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakah tekad Pas untuk membantu BN yang sebenarnya lebih jelas UMNO diketuai pemangku Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan disebabkan Pas berasa cuak melihat orang Melayu terbanyak sudah tidak lagi menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada kepemimpinan Melayu sedia ada dalam PH?

Ini lantaran disaksikan cuma retorik besar terutama dari sekutu-sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tanpa komitmen bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib bangsa khususnya golongan marhaen, petani, nelayan?

Adakah juga kerana lantaran persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini rapuh sehingga kepentingan bangsa terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin terbabit mencanangkan agenda peribadi dalam perlumbaan di pentas politik?

Mungkinkah bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing, akan tetapi akibat pemimpin tidak jujur dan hanya mementing kuasa dan kedudukan daripada memperbaiki nasib bangsa Melayu terbanyak, telah menjadikan bangsa Melayu terus berada di pihak tersudut?

Mentadbir negara tidak sama seperti bermain congkak. Ia bukan makmal eksperimen untuk diuji cuba.
Perlu ada keseriusan dalam memimpin. Sekiranya benar, berkatalah benar. Jika salah, mengakulah salah. Menyembunyikan kesilapan memang akan menampakkan kebaikan, tetapi ia bukan penyudah masalah.

Persoalannya dalam arus politik tanah air sekarang termasuklah mengharungi kempen PRK Semenyih, siapakah yang sedang check-mate siapa sekarang ini?

Kalau ikut analisis mudah, andainya Pas-UMNO berkompromi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan tidak menjadikan persaingan tiga penjuru menghadapi PH, barangkali sekurang-kurangnya 26 kerusi Parlimen milik UMNO terselamat. Tetapi itu semua sudah menjadi sejarah.

Masalah besar dihadapi orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!

Berapa banyak parti Melayu tumbuh bak cenda­wan lepas hujan. Daripada UMNO, muncul PKR dan Bersatu. Daripada Pas, muncul Amanah dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Akibat kekecohan ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual, kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib bangsa.

Contoh paling mudah dan ketara, bangsa lain termasuk pendatang asing bertungkus-lumus menguasai apa sahaja ruang yang diperoleh untuk bertapak kukuh di tanah air ini.

Suatu ketika dilaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baharu yang diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan dikerumuni bangsa lain. Apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain.

Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai bakeri, bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh dikuasai bangsa lain.

Adakah boleh kita persalahkan bangsa lain ketika pemimpin bangsa Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri (dari merebut jawatan peringkat bahagian atau cabang sehingga bercita-cita menjadi menteri).

Di samping banyak retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri.

Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantung masing-masing, bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk kepentingan peribadi.

Keputusan Pilihan Raya Ke-14 pada 9 Mei 2018 mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu.

Baik Bersatu, UMNO dan Pas, beringatlah. Kita sudah kehilangan Singapura 54 tahun dahulu dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung ‘tertindas’ tanpa disedari. Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk mendapatnya semula.

Jangan dalam tempoh akan datang, disebabkan kelekaan Bersatu, UMNO dan Pas membela anak bangsa, orang Melayu yang berpayung di bawah tiga parti utama berteraskan Melayu ini hilang kuasa politik.

Dan sekali gus Melayu kehilangan kuasa tawar-menawar (bargaining power) di tanah air sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN