ARAU 7 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini perlu segera rejuvenate atau melalui peremajaan semula supaya benar-benar stabil dan kuat.
Seorang pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, krisis yang melanda Bersatu negeri sebelum ini adalah disebabkan kelemahan kepemimpinan tertingginya.
Sehubungan itu katanya, muka lama yang mengetuai Bersatu sebelum ini gagal membawa perubahan di dalam parti sekali gus membuatkan hilang rasa hormat dalam kalangan ahli dan kepemimpinan bawahan.
“Kalau tengok Bersatu Perlis sebelum ini, tiada calon yang berwibawa untuk mengetuai parti khususnya dalam kalangan anak muda. Sebab itulah, Bersatu perlukan pemimpin yang berkaliber dan Wan Saiful Wan Jan dilihat calon yang paling sesuai.
“Bersatu Perlis perlu melahirkan generasi baharu mengetuai parti bagi menarik anak-anak muda khususnya menyertai parti tersebut. Kita (Bersatu) suruh UMNO berubah, tetapi kalau kita sendiri tak berubah, tiada maknanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kebelakangan ini, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikaitkan sebagai individu paling sesuai dilantik sebagai Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) Perlis bagi menggantikan Ameir Hassan yang dipercayai telah ditamatkan jawatan tersebut.
Sebelum ini, Bersatu Pusat memutuskan untuk mengambil alih kepemimpinan parti itu di Perlis sehingga kemelut yang melanda Bersatu di negeri itu selesai.
Dalam satu sidang akhbar khas di negeri ini pada 9 Januari lalu, hampir keseluruhan kepemimpinan bahagian, cawangan dan sayap-sayap Bersatu tampil mendesak Ameir melepaskan jawatan.
Kesemua mereka yang diketuai Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim itu sepakat menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada Ameir dan menyifatkan beliau telah gagal menguruskan parti dengan baik.
Kemelut tersebut mula berbangkit apabila Wan Saiful yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Bersatu negeri mendedahkan mengenai skandal melibatkan ratusan ribu ringgit membabitkan parti itu di Perlis.- UTUSAN ONLINE










