MAKASSAR 21 Feb. – Calon Naib Presiden, Ma’ruf Amin mengingatkan mengenai bahaya berita palsu dan pembohongan yang dilihat berupaya memecahbelahkan bangsa Indonesia.
TribunNews melaporkan, penularan berita palsu disumbangkan oleh pihak-pihak yang sengaja ingin menyampaikan maklumat dengan cara yang salah.
Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung boleh menyebabkan demokrasi dan Perlembagaan Indonesia menjadi kacau-bilau yang akhirnya menyaksikan rakyat saling bergaduh atau bermusuhan antara satu sama lain.
“Sehubungan itu, berita palsu perlu dicegah serta-merta kerana pembohongan hanya membawa kepada perbuatan atau tindakan yang tidak seharusnya dilakukan.
“Perbuatan menyimpang itu boleh mengheret manusia masuk neraka,” katanya ketika menghadiri sesi Dialog Nasional Keagamaan yang bertemakan ‘Mengutamakan Islam Wasatiyah: Bahaya Berita Palsu dan Fitnah dalam Kehidupan, Agama dan Rakyat’ di sini.
Beliau menambah, berita palsu termasuk dalam perbuatan berbohong.
Oleh yang demikian pihaknya berharap kegiatan menyebar berita palsu tidak akan berterusan kerana perbuatan itu tidak digalakkan dalam Islam.











