KUALA SELANGOR 10 Feb.- Setiausaha Politik yang belum membuat pengisytiharan aset dan pendapatan perlu diberi ruang dan waktu untuk berbuat demikian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana yakin dalam masa terdekat mereka akan mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ditanya apakah Setiausaha Politiknya sudah mengisytiharkan harta, Dzulkefly memaklumkan bahawa beliau tidak pasti dan akan bertanya tentang perkara tersebut.
“Perkara ini melibatkan pentadbiran dan pengurusan, namun bukanlah sukar untuk ditangani cuma beri masa kerana mungkin mereka tidak diberi tumpuan untuk membuat pengisytiharan.
“Saya yakin dalam masa terdekat semua Setiausaha Politik akan membuat pengisytiharan harta dan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Medical4Gaza di Econsave Alam Jaya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seramai 12 Setiausaha Politik kepada menteri Kabinet masih gagal mengisytiharkan harta masing-masing kepada SPRM.
Malah, hasil semakan mendapati mereka sepatutnya menyerahkan senarai berkenaan kepada SPRM sebelum 31 Oktober tahun lalu, namun sehingga kini gagal berbuat demikian.-UTUSAN ONLINE










