JOHOR BAHRU 5 Feb. – Kerajaan negeri kini lebih terbuka dan memberi ruang serta peluang kepada semua untuk bersama-sama membangunkan negeri ke arah yang lebih mapan dan pembangunan bestari.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata, sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya bersama-sama mengupayakan setiap masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan.
“Semaikanlah kemakmuran kehidupan rakyat yang unik di negara ini dan khususnya pemuafakatan di Johor sebagai tunggak perpaduan nasional yang dikagumi malah dicemburui masyarakat antarabangsa,” katanya di sini sebentar tadi.
Beliau berucap dalam Majlis Ramah Tamah Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, di Wisma Tiong Hua.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Ali dan Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru Datuk Seri Tey Kim Chai.
Pada majlis itu, Osman turut mengumumkan peruntukan RM100,000 oleh kerajaan negeri kepada Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru bagi melakukan pelbagai aktiviti.
Pada majlis sama, Osman turut berpesan supaya rakyat negeri ini tidak menjadikan kepelbagaian anutan agama, adat resam dan sebagai sebuah benteng pemisah dan isu sehingga mencetuskan kesulitan dan perbezaan. – UTUSAN ONLINE










