Bercuti ke Hatyai pandu kereta sendiri - Utusan Malaysia

Bercuti ke Hatyai pandu kereta sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percutian bersama keluarga memang menyeronokkan. Ibu bapa berpeluang menikmati masa berkualiti bersama anak-anak sekali gus mampu meningkatkan lagi keakraban sesama keluarga.

Sehubungan itu, jika anda merancang untuk bercuti bersama keluarga dengan memandu kereta tanpa terikat dengan jadual penerbangan, agensi pelancongan dan selesa berhenti di stesen minyak untuk menukar lampin pakai buang anak anda, penulis mencadangkan agar membawa anak-anak ke Hadyai terletak di Songhkla, Thailand.

Hadyai bukanlah destinasi pelancongan yang baharu. Pada hujung minggu atau musim cuti sekolah, sempadan Thailand-Malaysia yang terletak di Perlis dan Kedah sesak dengan rakyat negara ini yang ingin melancong ke sana. Bagi mereka yang menaiki kereta sendiri, anda perlu mengetahui beberapa panduan termasuk membeli insurans kereta untuk masuk ke Thailand dan mengisi borang di kaunter penyerahan borang insurans selepas pasport anda dicop.

Pastikan anda tidak menghilangkan surat pengesahan kereta untuk ke Thailand kerana perlu dikembalikan ketika masuk semula ke Malaysia. Selain itu, anda juga perlu mengetahui peraturan Thailand termasuk tidak dibenarkan membawa walkie-talkie.

Hadyai yang bersaiz sebesar Georgetown, boleh diteroka dalam masa sehari. Di sini majoriti penduduknya masih bertutur dalam bahasa Melayu, jadi komunikasi bukan masalah. Antara lokasi menarik di Hadyai ialah Pasar Terapung Khlong Hae.

Lokasi itu terkenal dengan kepelbagaian makanan seperti kerabu maggi, dimsum chabura, kepak ayam, pulut mangga, bahkan turut tersenarai sebagai salah satu lima lokasi makanan halal wajib cuba di Hadyai. Pasar yang dibuka pada setiap hujung minggu bermula dari Jumaat hingga Ahad itu sesuai dikunjungi antara pukul 3 petang hingga 9 malam.

Bagi mereka yang tidak mahu memandu kereta, anda boleh meletakkan kereta di hotel kemudian menaiki tuk-tuk. Kebanyakan pelancong menaiki tuk tuk menyusuri bandar Hadyai ke Lee Garden Plaza Night Walk untuk menikmati pulut mangga, pulut durian, udang galah, aiskrim kelapa, ABC special, kuew tiau serta pelbagai juadah enak di sana.

Mereka yang ingin menyaksikan dan menunggang gajah boleh ke kawasan penempatan gajah Chang Puak Camp. Kemudian, anda boleh meneruskan jelajah dan menjamu selera di Buffet Steamboat yang menyediakan Som Tam Thai. Pelancong juga boleh membeli-belah di Asean Market atau Central Festival Mall. Selepas puas menjelajah Hadyai, rehatkan kaki anda dengan urutan yang mana di Hadyai terdapat pelbagai pusat urutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN