Benih kerang RM50,000 untuk diseludup dirampas - Utusan Malaysia

Benih kerang RM50,000 untuk diseludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah menahan dua lelaki serta merampas 100 kilogram benih kerang bernilai RM50,000 yang dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran malam tadi.

Timbalan Komander Risikan dan Operasi Aksem Kedah, Insp Anandha Krishnan berkata, rampasan itu dibuat terhadap sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua lelaki berumur 30 dan 35 tahun di KM4.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah Thailand di Pekan Changlun dekat Kubang Pasu pada 10.10 malam.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas kereta berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan dan telah menjumpai beberapa guni berwarna putih yang dipercayai benih kerang di dalam bonet belakang kereta berkenaan yang dipercayai dibawa dari Perak.

“Harga benih kerang ini RM500 sekilogram dan sekiranya pemintaan tinggi di negara jiran harga itu boleh meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda. Bulan Januari hingga Mac adalah musim benih kerang ini jadi kita akan tingkat pemantauan dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Anandha berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek menerima upah RM300 menghantar benih kerang itu dengan akan bergerak sekitar pukul 2 atau 3 pagi bagi mengelakkan benih kerang terkena panas hingga menyebabkan ia mati.

“Mereka bergerak pada awal pagi dan apabila pintu sempadan buka, mereka akan terus masuk ke negara jiran. Kita dapati mereka juga menggunakan kereta lebih kecil berbanding kereta besar seperti Naza bagi mengelak daripada dikesan pihak penguatkuasa,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM70,000 termasuk kereta itu dan kes disiasat mengikut Perkara 3(1) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN