KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kementerian Pertahanan belum membuat laporan polis berhubung kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya hanya akan membuat laporan polis, sekiranya terdapat keperluan.
“Setakat ini kita mendapati kes ini tiada kaitan dengan polis, sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Perwira, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan 150 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) 2019 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, di sini hari ini.
Seramai 849 warga awam, 9585 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada tiga cabang perkhidmatan dan 280 pesara kementerian seluruh negara menerima anugerah tersebut.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd. Manaf dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang laporan dibuat berkenaan kes tersebut. – UTUSAN ONLINE.











