Belia, mahasiswa diminta tolak calon PH di Semenyih - Utusan Malaysia

Belia, mahasiswa diminta tolak calon PH di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Semua belia termasuk mahasiswa diminta menolak calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac depan.

Exco Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, saranan itu bagi memberi pengajaran kepada PH kerana hanya pandai menabur janji selain membawa kepada kekuatan suara pembangkang menerusi kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini.

“Saya menyeru agar belia dan mahasiswa yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih untuk kali ini agar mengundi calon BN supaya suara pembangkang menjadi kuat di sidang DUN dan sebagai pengajaran kepada PH yang telah menipu rakyat.

“Bukan apa, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pakar-pakar strategik mereka seperti Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli; bekas Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dan yang lain-lain telah menyatakan dan mengkaji sedalam-dalamnya bahawa tol boleh dimansuhkan, Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dihapuskan, pendidikan diberikan percuma dan janji sampai orang boleh terbayang yang ‘gajah pun boleh terbang’ telah membuatkan rakyat terpedaya dengan kata-kata mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, janji yang dibuat kerajaan PH hanya bersifat retorik dan sekadar untuk meraih kuasa.

“Banyak bantuan rakyat termasuk bantuan untuk mahasiswa dan anak muda dibatalkan serta dikurangkan. Jadi, saya sangat berharap agar belia dan mahasiswa, jangan lagi bimbang untuk ajar kerajaan dengan kembali mengundi BN semula.

“Kita tidak kisah kalau kerajaan kini selepas mengambil alih kerajaan seperti yang dijanjikan selepas tempoh 100 hari, jika mereka hebat dan mampu menjana ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Tapi sehingga hari ini, negara kini menjadi semakin huru-hara dan keadaan ekonomi tidak menentu serta semangat perpaduan kaum semakin terjejas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN