Bekalan air di Kedah mencukupi sepanjang musim panas - Utusan Malaysia

Bekalan air di Kedah mencukupi sepanjang musim panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Bekalan air bagi keperluan domestik dan pertanian di negeri ini dijamin mencukupi sepanjang musim panas yang dijangka melanda negara hingga hujung Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga Kedah, Zamri Yusuf berkata, paras air di empat empangan utama iaitu Empangan Pedu, Beris, Ahning dan Muda berada pada paras selesa.

“Sekarang sudah masuk musim panas tetapi paras air di empangan tidak terjejas kerana masih berlaku beberapa kali hujan sejak bulan lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Melestarikan Sungai dan Saliran negeri Kedah di Kampung Gunung Sali di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya bagaimanapun mengambil langkah penjimatan dengan melepaskan air empangan ke dalam sungai mengikut keperluan loji rawatan air.

“Sebagai contoh paras air Sungai Muda pada ketika ini menurun sedikit kepada 1.8 meter tetapi masih menepati keperluan loji rawatan dengan paras minimum 1.5 meter,” ujarnya.

Tambahnya, takungan air di empangan utama itu akan sentiasa dipantau walaupun diramalkan hujan mulai turun pada April depan sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, kedudukan takungan empangan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) hari ini adalah 80.3 peratus (Pedu), 61 peratus (Muda) dan 73.7 peratus (Ahning).

Media sebelum ini melaporkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat negara dan negeri Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN