LONDON 11 Feb. – Seorang bayi lelaki pramatang di Britain, layak digelar sebagai bayi ajaib apabila masih hidup meskipun doktor menyifatkan dia tidak akan hidup lama selepas dilahirkan dengan saiz sebesar jarum hospital ketika usia kandungan ibunya baru memasuki tempoh 23 minggu.
Mirror Online melaporkan, bayi lelaki yang dinamakan George itu lahir dengan berat hanya 700 gram, Julai tahun lalu dan kini beransur pulih sekali gus menafikan andaian ‘satu daripada sejuta’ untuk terus hidup.
Ibu bapa bayi tersebut, Hanna Rose, 27, dan suaminya, Daniel Bownes, 27, telah dimaklumkan oleh doktor sebanyak lima kali bahawa George tidak akan hidup lama selepas dia dilahirkan pada minggu ke-23 kandungan.
Malah George terpaksa menjalani rawatan sepsis dan meningitis sebanyak lima kali, sekali gus membuatkan doktor dan ibu bapanya percaya dia tidak akan hidup lama.
“George menjalani pembedahan segera selepas dilahirkan. Kami tidak boleh menyentuhnya kerana dilahirkan dengan kulit yang rapuh,” ujar Rose.
Namun selepas 26 minggu dirawat di hospital, George semakin pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
“Doktor memberitahu kami, George hanya mempunyai peluang satu dari sejuta untuk hidup dan adalah mustahil baginya untuk hidup lama.
“Saya percaya dia akan meninggal dunia, adalah satu keajaiban dia masih bersama kami. Setiap hari bersamanya adalah satu rahmat,” kata Rose.
Rose dan Bownes kini mengumpul wang perubatan George melalui laman sesawang GoFundMe.
Sehingga kini, George menjalani 20 kali pemindahan darah dan sedang menunggu pembedahan ketujuhnya yang membabitkan jantung.
“George mengalami penyakit paru-paru yang kronik dan tidak boleh bernafas tanpa alat bantuan dalam jangka waktu panjang. Dia perlu berjumpa doktor setiap hari dan pergerakannya terhad,” jelas Rose. – AGENSI










