BERLIN 3 Feb. – Bayern Munich tidak dapat memberi kata putus sama ada Manuel Neuer boleh diturunkan dalam aksi Piala Jerman menentang Hertha pada minggu depan selepas juara Jerman itu dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Bayer Leverkusen, semalam.
Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Niko Kovac ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund.
Bayern semakin tertekan apabila mereka jatuh di tangga ketiga selepas Borussia Moenchengladbach menang 2-0 ke atas Schalke yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan itu bermakna kedua-dua pasukan tersebut berkongsi mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
“Mujur Dortmund tidak mengutip tiga mata (seri 1-1 menentang Eintracht Frankfurt). Sekarang kami ketinggalan tujuh mata di belakang dan jumlah itu bukannya kecil. Kami perlu memanfaatkan baki saingan dengan sebaik mungkin dan pastinya bukan mudah namun kami tidak akan mengaku kalah kerana kami masih menaruh harapan,” kata Kovac.
Bayern terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Leon Goretzka pada minit ke-41 dan hampir menggandakan kedudukan namun gol Robert Lewandowski dibatalkan selepas berada dalam kedudukan ofsaid.
Memasuki babak kedua, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Leon Bailey pada minit ke-53 sebelum Kevin Volland dan Lucas Alario menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-53 dan minit ke-87.
“Kami sepatutnya berada di depan dengan lebih banyak gol pada babak pertama namun keadaan sebaliknya pula berlaku. Kami tidak sepatutnya bolos dengan gol seperti itu jadi kami berasa jengkel dengan diri sendiri.
“Keputusan tidak menggambarkan perlawanan dan kami tidak sepatutnya tewas. Leverkusen hanya membuat empat percubaan tepat ke gawang dan melakukan tiga gerakan gol,” kata Kovac lagi.
Ketiadaan penjaga gol utama Bayern, Neuer benar-benar memberi kesan kepada pasukan selepas dia mengalami kecederaan di ibu jari ketika berlatih pada minggu lalu dan Kovac enggan memberi jaminan tempoh pemain itu kembali beraksi. – AFP











