MUNICH 25 Feb. – Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness menegaskan bahawa masa depan James Rodriguez berada di tangan pasukan itu meskipun pemain itu berdepan situasi masa depan tidak menentu.
James, 27, menyertai Bayern dipinjamkan Real Madrid selama dua tahun bermula 2017 dan perancang Colombia itu dikaitkan dengan perpindahan semula ke Santiago Bernabeu.
Bagaimanapun, Hoeness menegaskan bahawa juara Jerman itu akan menentukan masa depan James yang memiliki klausa perpindahan tetapi bernilai 42 juta euro (RM193.91 juta).
“Bergantung kepada jurulatih. Jika dia (Niko Kovac) mahukan James untuk musim hadapan, kami akan bayar 42 juta euro (RM193.91 juta). Terpulang kepada kami untuk tentukan.
“Kami ada pilihan untuk menggunakan klausa ini sebelum Mei. Jika kami mahu kami gunakan pilihan ini dan dia akan kekal tetapi keputusan belum dibuat,” kata Hoeness.-AGENSI










