MADRID 17 Feb. – Lionel Messi berjaya menyempurnakan salah satu daripada dua sepakan penalti untuk pendahulu La Liga itu menumbangkan Real Valladolid 1-0, manakala Antoine Griezmann menyamai jumlah jaringan Fernando Torres kepada gol ke-130 untuk Atletico Madrid.
Kecergasan Messi terus diuji sehingga ke hari ini selepas jadual padat minggu lalu. Bagaimanapun bintang Argentina itu tidak berdepan masalah untuk berada selama 90 minit di atas padang di Camp Nou, dengan tetap berjaya meledak gol ketiga puluhnya bersama Barca buat musim ke-11 berturut-turut.
“Kami tidak bermain dengan baik. Ia terbukti dalam perlawanan hari ini. Namun, perkara terpenting adalah kami mengecapi kemenangan.
“Berada semula di landasan dengan mengutip tiga mata adalah misi utama kami selepas seri dua kali dalam saingan liga.
“Apa pun, kami perlu meingkatkan kualiti permainan. Kami perlu bersemangat untuk perlawanan seterusnya, jika tidak kami akan ketinggalan,” kata Gerard Piqué, yang membuat penampilan ke-300 dalam kancah La Liga.
Sementara itu, Griezamann meledak gol kemenangan di babak kedua untuk Atletico menang 1-0 ke atas Rayo Vallecano, sekali gus merangsang semangat untuk berdepan Juventus, yang memiliki bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
“Griezmann sememangnya pemain handal. Dia berjaya menyesuaikan diri pada ketika pasukan ini memerlukannya. Dia sangat penting bagi kami,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.- AFP











