Barang kemas Rosmah: Pegawai Penyiasat diarah beri penjelasan - Utusan Malaysia

Barang kemas Rosmah: Pegawai Penyiasat diarah beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pegawai penyiasat, Superintenden Foo Wei Min untuk hadir memberi penjelasan mengenai kegagalan pihaknya mematuhi arahan mahkamah bagi membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 barang kemas bernilai RM60 juta yang dirampas tahun lalu.

Peguam yang mewakili Rosmah selaku defendan, N. Rajivan berkata, mahkamah telah mengarahkan pegawai penyiasat kes rampasan di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu hadir pada pukul 9 pagi esok untuk menjelaskan sama ada barang kemas terbabit berada dalam simpanan pihak polis atau tidak.

“Mahkamah sebelum ini telah memberikan tempoh tujuh hari kepada anak guam saya memeriksa kewujudan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, gelang dan tiara tersebut namun anak guam saya tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak polis bagi melaksanakan tujuan itu.

“Sehubungan itu, sama ada perbicaraan akan diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan atau tidak bergantung kepada penjelasan pegawai penyiasat tersebut kepada mahkamah esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Peguam Datuk G. David yang mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkata, Wei Min perlu hadir untuk menerangkan kepada mahkamah mengenai kedudukan barang rampasan tersebut.

“Kami akan tetap meneruskan kes saman itu walau apa pun keputusan mengenai pemeriksaan barangan terbabit oleh Rosmah,” ujarnya.

Pada 14 Februari lalu, Rosmah diperintah dan diberi tempoh tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, gelang dan tiara bernilai hampir RM60 juta miliknya yang didakwa dirampas polis tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN