KUANTAN – Polis menyambung tahanan reman selama seminggu lagi ke atas pasangan suami isteri berusia 54 dan 25 tahun berhubung kes kematian kanak-kanak yang meninggal dunia akibat didera.
Pada 21 Februari lalu, polis menahan bapa tiri serta ibu kandung mangsa, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, yang disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan dipercayai akibat didera pasangan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, pasangan tersebut disambung reman sehingga 6 Mac depan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah Majistret Rompin (hari ini) telah membenarkan tempoh sambung reman selama tujuh hari mulai 28 Februari hingga 6 Mac 2019,” kata beliau.
Pasangan tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu di Kampung Padang Rumbia, Pekan berdasarkan penemuan beberapa kesan kecederaan akibat didera.
Bedah siasat ke atas mangsa menemui kesan cucuhan bara rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam mata kanan serta luka kecil di kening kanan.
Sehubungan itu, polis pada minggu lalu menahan reman seminggu ke atas pasangan tersebut yang berakhir hari ini sebelum tempoh tahanan disambung tujuh hari lagi sehingga 6 Mac depan. – K! ONLINE










