Banyak kelemahan perlu diperbaiki - Marko - Utusan Malaysia

Banyak kelemahan perlu diperbaiki – Marko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 9 Feb. – Pemain Kelantan perlu mengatasi kelemahan ketika berdepan situasi bola mati, kata Ketua Jurulatihnya Marko Kraljevic.

Marko, jurulatih kelahiran Jerman yang fasih berbahasa Malaysia berkata kelemahan itu menyebabkan Kelantan gagal mengutip tiga mata penuh dalam pertemuan menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV semalam.

“Kelemahan itu jelas kelihatan apabila ketiga-tiga gol pasukan pelawat dijaringkan menerusi sepakan percuma, sepakan penjuru dan lontaran bola ke dalam menyebabkan pasukan kami hampir ditewaskan.

“Saya dan pemain perlu mengatasi kelemahan ini supaya ia tidak menjadi sasaran pasukan lawan dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan sekadar memperoleh satu mata selepas seri 3-3 dengan Sabah.

Tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior seawal minit keenam perlawanan menerusi sepakan penalti, Nik Akif Syahiran Nik Mat (minit ke-51) dan Muhammad Danial Haqim Draman pada minit ke-88.

Tiga gol Sabah dijaringkan oleh pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-12 dan dua gol Maxsius Musa pada minit ke-78 dan minit ke-86.

Dalam pada itu, Marko berkata kombinasi antara pemain juga perlu dipertingkatkan walaupun ramai pihak berpuas hati dengan keputusan pada malam tadi.

“Saya lihat malam ini ada sedikit peningkatan daripada segi kombinasi terutama pemain import walaupun tidak mempunyai kecergasan yang baik.

“Pemain diharapkan cepat mengatasi kelemah-kelemahan ini bagi mengelakkan pasukan terus kehilangan mata,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN