LONDON 4 Feb. – Pesawat yang membawa pemain Argentina, Emiliano Sala dan juruterbang, David Ibbotson ke Cardiff City sebelum terhempas pada 21 Januari lalu ditemukan di dasar laut Selat Inggeris, berhampiran Channel Island.
“Saya boleh sahkan kapal terbang itu sudah ditemukan,” kata jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB).
AAIB turut memaklumkan, mayat salah seorang mangsa turut kelihatan di dalam pesawat tersebut.
BBC melaporkan, pemilik syarikat persendirian, Blue Water Recoveries, David Mearns, yang diupah keluarga Sala untuk mengesan pesawat itu dalam catatan Twitter miliknya berkata, bangkai pesawat tersebut ditemukan semalam.
“Terdapat sejumlah serpihan berada di dasar laut. Meskipun berita ini sukar untuk diterima namun saya fikir, ini adalah jawapan terbaik yang dapat kami berikan kepada ahli keluarga mangsa setakat ini,” katanya.
Ketika kejadian, Sala yang menaiki pesawat ringan jenis Piper PA-46 dalam perjalanan dari Nantes, Perancis untuk menyertai kelab baharunya, Cardiff City. – AFP/agensi










