SINGAPURA 25 Feb. – Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dilantik sebagai pemangku Menteri Pengangkutan bagi Rundingan Dua hala Singapura-Malaysia, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura.
Ini susulan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur yang juga Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan masih dalam cuti sakit selepas cedera di tangan kiri setelah terjatuh minggu lepas.
“Ini bagi memastikan agar perbincangan yang masih berjalan dengan Malaysia berhubung beberapa perkara mengenai pengangkutan akan terus diselaraskan,” menurut PMO dalam laman web hari ini.
Menurut PMO, Boon Wan pada masa kini menerima rawatan di wad hospital dan akan menyambung kerja apabila sudah boleh berbuat demikian, kemungkinan selepas beberapa minggu.
Menteri Kanan, Dr. Lam Pin Min dan Dr. Janil Puthucheary bersama Setiausaha Kanan Parlimen, Baey Yam Keng akan membantu Balakrishnan bagi perkara lain pengangkutan dan dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan, katanya. – BERNAMA










