Bagaimana ini boleh terjadi? - Utusan Malaysia

Bagaimana ini boleh terjadi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya terkejut. DAM! DAM! DAM! Bunyi pintu yang diketuk bertalu-talu menyebabkan saya terjaga daripada tidur. Adoi, siapa pula yang ketuk pintu ni? Budin ke? Kan saya dah cakap tadi, masuk saja. Saya tak kunci pintu, saya merungut dalam hati.

“Woi, Pozi, bukalah pintu ni!”

Sah, Budin, dia memanggil saya dari luar. Terpisat-pisat saya menggosok mata, keluar dari bilik dan membuka pintu depan. Budin meluru masuk.

“Kenapa kau kunci pintu? Kan aku dah cakap, tak payah kunci, aku pergi kedai sekejap aje,” dia merungut. “Aku nak cepat, lepas sembahyang ni aku nak keluar jumpa kawan pulak. Dah janji kat Puduraya,” sambungnya lalu membuka baju.

Saya pandang muka Budin. Saya cakap, saya tak kunci pintu. Selepas dia keluar pukul 6 petang tadi, memang saya biarkan pintu depan tidak berkunci, seperti yang dipesannya.

Hari itu, Sabtu. Kami empat orang yang menyewa apartmen tiga bilik di Desa Pandan, Kuala Lumpur, semuanya tidak bekerja. Tapi biasalah orang bujang, bila cuti apa lagi, kalau tak tidur, merayaplah. Dua orang kawan kami, Izham dan Hisham balik Melaka. Mereka sekampung. Cuma saya saja yang tidak keluar sebab kurang sihat. Sudah tiga hari demam selesema.

Budin pula pukul 6 petang tadi turun ke kedai runcit dan menggunting rambut. Sebelum keluar, kawan sebilik saya itu berpesan, jangan kunci pintu. Dia keluar lebih kurang sejam saja.

Sekarang, saya termenung. Bila masa pula saya kunci? Tadi semasa Budin mahu keluar, saya baring di katil. Kepala terasa berat selepas makan ubat, lantas saya biarkan saja pintu depan tidak dikunci.

Pintu bilik pula saya biarkan terlapang supaya dapat dengar kalau ada sesiapa masuk. Itu memang saya ingat betul. Tapi sekarang, macam mana pintu itu boleh terkunci? Siapa yang lakukannya?

Dari cermin tingkap nako bilik itu saya nampak langit sudah mula kelam. Hari sudah senja. Sebentar lagi masuk waktu maghrib. Kata orang, waktu senja ini makhluk halus sedang berkeliaran.

“Apasal kau termenung pulak tu?” Budin bertanya, sambil melilit tuala ke pinggangnya, bersiap untuk mandi.

“Tak ada apa lah,” saya berdalih. Perlukah saya ceritakan apa yang sedang saya fikirkan ini? Percayakah dia?

MANDI

Pukul 8 malam, Budin keluar semula. Saya tinggal seorang lagi. Selepas makan lauk tengah hari yang dipanaskan semula dan menonton televisyen, saya masuk ke bilik. Penangan ubat demam punya fasal, saya terlelap.

Entah pukul berapa, saya tidak tahu, saya dengar bunyi orang mandi. Budin lah ni, kata saya di dalam hati. Dia memang suka mandi malam. Tidak kira pukul berapa, kalau badannya panas dan tidak selesa, Budin akan mandi.

Saya cuba menyambung tidur, tapi mata tidak mahu lelap. Mungkin kerana sudah dua, tiga hari ini banyak masa saya dihabiskan dengan tidur, sekarang susah pula hendak terlena.

Sambil pejamkan mata, saya pasang telinga dan menunggu Budin masuk. Tapi aneh, sudah setengah jam berlalu, dia masih lagi di dalam bilik air. Hairan, sebab biasanya Budin ini kalau mandi tidak sampai pun 10 minit.

Oleh kerana lama sangat, dan saya pun mahu buang air kecil, saya bangun dan keluar dari bilik. Seluruh ruang tamu, dapur dan bilik air gelap gelita. Saya nyalakan lampu dan sebaik sahaja mentolnya menyala, bunyi orang mandi serta-merta terhenti.

Saya teruskan langkah, tetapi sebelum masuk ke dalam tandas, saya ketuk pintu bilik mandi. Darah saya berderau kerana sebaik sahaja diketuk, ia terus terbuka. Bukan itu saja, lantai bilik air juga kering. Di dalamnya tiada sesiapa!

Tangan saya menggeletar. Saya rasa hendak lari masuk ke bilik, tapi disebabkan pundi kencing sudah penuh, dicampur dengan panik dan naluri hendak menyembunyikan diri, saya terus bergegas masuk ke dalam tandas.

Tetapi sesudah menguncinya, timbul rasa menyesal. Ya Allah, kenapalah aku masuk tandas? Sepatutnya saya lari masuk dalam bilik.

Sambil melepaskan hajat, dalam hati saya menyumpah seranah atas kebodohan diri sendiri. Kenapalah saya kelam-kabut sangat? Kenapalah saya tak berfikir panjang dan tidak lari masuk bilik. Nah, sekarang nak buat apa?

Kalau makhluk itu muncul semula dan tunggu saya di luar pintu tandas, macam mana? Kalau dia tunjuk rupanya yang menakutkan, saya nak lari ke mana?

Waktu itu saya terasa benar-benar bodoh.

Saya cemas dan menggelabah. Detik yang berlalu terasa begitu panjang. Sesaat bagaikan seminit. Pelbagai gambaran menakutkan muncul di fikiran.

Ternyata, apa yang saya bimbangkan benar-benar terjadi. Belum sempat menyudahkan hajat, saya dengar bunyi gayung dicedok ke dalam kolah dan air yang dijirus jatuh ke lantai. Kemudian, bunyi orang membasuh tangan di sinki. Malah saya dengar suara `Budin’ mengeluh kesejukan apabila air disiram ke badannya.

Waktu itu saya rasa macam hendak hantukkan saja kepala ke dinding, sebab saya tidak boleh lari ke mana lagi. Kaki dan tangan saya menggigil. Peluh membasahi muka. Kalau ditoreh tidak berdarah.

Dalam kalut itu barulah saya teringatkan ayat-ayat al-Quran. Lalu saya membacanya dengan suara menggigil. Tanpa disangka, sebaik sahaja saya mula membaca, bunyi orang mandi itu terus terhenti. Paip air ditutup. Suasana kembali sunyi.

Terkejut saya dibuatnya. Makhluk itu sudah lari?

Saya berhenti membaca. Senyap. Seminit kemudian baru saya sambung semula, kali ini lebih tenang dan yakin. Bunyi itu tidak kedengaran lagi.

Saya menunggu. Seminit, dua minit, tiga minit, lima, sepuluh… dan setelah yakin makhluk itu tiada lagi di bilik air, saya buka pintu tandas dan meluru ke luar. Sambil melangkah pantas, hujung mata saya sempat melihat ke arah bilik mandi. Pintu terbuka, tapi tiada sesiapa di dalamnya!

Mencecet saya berlari masuk ke bilik dan terus melompat ke atas katil. Ketika mahu menutup suis lampu yang terletak di hujung kepala katil, saya nampak Budin sedang tidur di katil bujangnya yang terletak bertentangan. Badannya membelakangkan saya.

Lega. Ada juga kawan. Segera saya tutup lampu dan tarik selimut menutup muka. Saya tidak mahu mengejutkan Budin, biarlah dia tidur. Esoklah saya cerita padanya. Tentu Budin penat selepas berjumpa dengan kawannya tadi.

Sedang cuba melelapkan mata, tiba-tiba saya terfikir… Budin? Eh, bila dia balik? Malam ini saya kunci pintu sebab bimbang orang ceroboh. Budin pun sudah pesan supaya saya mengunci pintu kerana dia akan pulang sekitar pukul 2 pagi.

Ya Allah! Kalau begitu, siapa yang baring di atas katil Budin? Bilik tidur terasa bagaikan berpusing ligat, kepala terasa berat, kosong, jauh dan akhirnya gelap gelita.

PENGSAN

Tiba-tiba bahu saya terasa digoncang dan nama saya dipanggil berulang kali. Saya membuka mata perlahan-lahan, sekeliling saya terang benderang.

“Hei… apa jadi dengan kau ni? Kenapa kau tidur dalam tandas?” soal Budin sambil merenjis muka saya dengan air

Tandas? Saya pandang sekeliling. Ya, saya sedang tersandar di dinding tandas!

“Kau sakit ke? Mari aku bawa kau pergi hospital!” kata Budin.

Saya sakit? Tidak, tidak! Entah apa lagi yang dicakap, saya tidak mengendahkannya sebab yang berlegar di fikiran saya ketika itu ialah, bagaimana saya boleh berada di dalam tandas? Dan kenapa pula saya boleh pengsan?

Atau semua ini hanya mimpi, kesan ubat yang saya makan? Ah, mustahil… mustahil! (Mohd. Fauzi Samad, Kuala Lumpur)

– NOTA: Kejadian ini berlaku pada awal 1990-an. Sebenarnya sejak menyewa apartmen berkenaan, Fauzi, Budin dan kawan-kawannya sudah sering diganggu dengan pelbagai kejadian pelik. Bunyi guli, bola dan duit syiling di ruang tamu serta rumah kosong di tingkat atas pada malam hari adalah perkara biasa bagi mereka. Bunyi orang mengalih barang-barang juga sering berlaku. Namun kisah di atas tadi adalah kemuncaknya. Seminggu kemudian mereka berpindah ke Kampung Baru, selepas tiga bulan menyewa apartmen berkenaan. Penduduk asal mendakwa kononnya ia ada kaitan dengan kejadian mati lemas di dalam lombong yang merupakan tapak asal kawasan apartmen tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN