Bagaikan selebriti ketika di puncak - Utusan Malaysia

Bagaikan selebriti ketika di puncak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALA persiapan mendaki diuruskan dengan penuh teliti dan cermat oleh Azhan Dziaruddin, 36, tiga hari menjelang tarikh pendakian ke Gunung Stong, Dabong, Kelantan.

Peralatan wajib pendakian seperti baju hujan, baju tebal, topi, khemah, makanan, peralatan makan dan air bersih disatukan dalam sebuah beg galas.

Bagi memastikan keselesaan sewaktu pendakian terutamanya ketika melalui cerun, Azhan turut membawa beg galas yang menyerupai sebuah sangkar.

Kesemua barangan itu bukanlah untuk kegunaan Azhan sewaktu pendakian, sebaliknya ia buat seekor kucing peliharaannya yang dikenali sebagai Jibek.

Begitulah persediaan yang lazim dilakukan oleh Azhan setiap kali mahu memulakan pendakian bersama Jibek sejak dua tahun lalu termasuk untuk mendaki Gunung Stong awal Februari lalu.

Jibek merupakan seekor kucing jantan yang aktif mengikut dan menemani pemiliknya, Azhan menawan puncak gunung dan bukit di seluruh negara sejak 2017.

Kucing spesies Maine Coon seberat 7 kilogram itu telah berjaya mendaki 30 puncak antaranya Bukit Raka di Pahang; Gunung Angsi, Negeri Sembilan; Gunung Ulu Sepat, Kelantan; Gunung Datuk, Negeri Sembilan; Bukit Sentosa, Selangor dan Gunung Gayong, Perak.

“Saya sangat selesa mendaki bersama Jibek. Kalau tidak membawanya bersama, saya rasa pendakian itu jadi tidak sempurna dan kurang menarik.

“Meskipun ia hanyalah seekor kucing, namun Jibek mampu menjadi teman yang baik buat saya,” ujar Azhan ketika ditemui K2 di kediamannya di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Percubaan pertama

Cerita lelaki berasal dari Jitra, Kedah itu idea membawa Jibek mendaki tercetus selepas menonton video mengenai kisah-kisah haiwan peliharaan menerusi YouTube.

Menerusi video berkenaan, dia dapati di luar negara haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing turut mengikut tuannya mengembara dan mendaki.

Pada masa sama, dia mendapat dorongan daripada rakan-rakan pendaki lain yang mengetahui Azhan memelihara haiwan berkenaan.

“Rakan-rakan selalu meminta saya membawa Jibek mendaki bersama sebagai teman. Kebanyakan rakan tahu saya rapat dengan Jibek.

“Ini kerana saya sering membawanya bersiar-siar dengan menunggang motosikal dan lepak di kedai mamak bersama rakan-rakan,” jelas lelaki yang masih bujang itu.

Azhan pertama kali membawa kucing berwarna kelabu itu sebagai teman adalah sewaktu mendaki Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor pada tahun 2017 yang mengambil masa seharian.

Jelas Azhan, dia tidak menyangka percubaannya itu membuahkan hasil apabila Jibek tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif sepanjang pendakian ke puncak setinggi 1,493 meter itu.

“Saya tidak menyangka sama sekali Jibek mampu mendaki gunung sehingga ke puncak dengan laluan yang sangat mencabar.

“Ia juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda meragam cuma sekali-sekala agak gelisah kerana ingin makan dan membuang air besar,” katanya.

Rentetan kejayaan itu, Azhan terus menjadikan kucing berusia tiga tahun itu sebagai teman setiap kali ada ekspedisi pendakian bersama rakan-rakan.

Pacat

Seperti pendaki lain, Jibek juga dalam misi untuk menawan tujuh puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau lebih dikenali sebagai G7.

Sehingga kini, Jibek telah menawan enam daripada puncak berkenaan iaitu Gunung Chamah, Gunung Ulu Sepat, Gunung Yong Yap, Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar.

“Tinggal satu puncak yang masih belum ditawan oleh Jibek iaitu Gunung Tahan di Pahang. Saya difahamkan, haiwan luar tidak dibenarkan dibawa mendaki gunung ini.

“Ini kerana ia dikhuatiri akan menarik perhatian binatang buas yang terdapat di gunung berkenaan,” ujar Azhan yang aktif mendaki sejak sedekad lalu.

Azhan memberitahu, sewaktu pendakian, Jibek akan diikat pada seutas tali sebelum dilepaskan bertenggek di atas beg galas atau dimasukkan dalam beg galas sangkar kucing. Ada ketikanya dia memaksa Jibek berjalan menelusuri denai.

Ujarnya, Jibek juga terpaksa menempuh cabaran sukar sewaktu pendakian seperti digigit pacat, meredah hujan lebat, berlapar, membuang air dalam semak dan bermalam dalam khemah atau buaian.

“Bagi memastikan Jibek tidak meragam sewaktu pendakian, saya sentiasa pastikan semua kelengkapannya seperti baju hujan dan makanannya cukup.

“Setiap sejam, saya akan berhenti seketika bagi Jibek makan sebelum meneruskan pendakian. Kalau Jibek mengais tanah bermakna dia hendak buang air besar,” terangnya.

Paling lama Azhan membawa Jibek sebagai teman adalah selama empat hari dan tiga malam sewaktu mendaki Gunung Stong.

Jibek juga boleh diumpamakan seperti selebriti popular pada setiap ekspedisi pendakian. Hal ini kerana ia terpaksa melayan permintaan peminat untuk berswafoto bersamanya.

Azham berkata, pernah satu ketika, perjalanannya terhenti selama lima kali untuk melayan permintaan pendaki daripada kumpulan pendaki lain yang ingin bergambar bersama Jibek.

“Perjalanan saya agak terganggu apabila ada orang ingin bergambar bersama Jibek. Namun, ia bukan satu masalah kepada saya. Malah, rakan-rakan saya juga faham,” jelasnya.

Tidak semua ekspedisi pendakian bersama Jibek ditempuhi dengan sempurna. Pernah satu ketika, Jibek bertindak agresif dan mencakar tangan kanannya sehingga menyebabkan luka kecil.

Tabiat

Menurut perunding imigresen di ibu negara itu, kejadian aneh tersebut berlaku sewaktu dia dan rakan-rakan lain berehat seketika di satu tempat sewaktu mendaki Bukit Raka, Bentong, Pahang pada bulan ini.

“Saya terkejut melihat perubahan Jibek kerana sebelum ini tidak bertindak agresif. Saya lihat Jibek merenung sesuatu dalam semak sebelum menyerang saya.

“Ada kawan saya cakap Jibek mungkin nampak sesuatu. Tidak pasti sama ada binatang buas atau makhluk ghaib,” ceritanya sambil menunjukkan parut cakaran pada tangan kanannya.

Mengimbau kembali cara Azhan menemukan Jibek, dia memberitahu, kucing berkenaan dibuang oleh individu tidak dikenali di hadapan pintu pagar rumahnya ketika berusia tiga bulan.

Disebabkan perasaan belas kasihan, Azhan membawa kucing berkenaan ke klinik veterinar untuk memeriksa tahap kesihatan sebelum menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

“Pada hari itu, saya ingin keluar dari rumah sebelum mendapati terdapat sebuah kotak yang mengandungi dua ekor anak kucing. Malangnya, seekor lagi sudah mati.

“Saya bukanlah pencinta haiwan seperti orang lain yang memelihara berpuluh ekor kucing. Jibek merupakan satu-satunya kucing yang dipelihara oleh saya di rumah,” jelasnya.

Tambah Azhan, dia memberi nama Jibek kerana sewaktu kecil kucing itu mempunyai tabiat pelik iaitu menjilat beg di rumahnya. Hasil gabungan singkatan perkataan jilat beg, maka Azhan memberikan nama Jibek.

Sebelum mengakhiri bicara, dia berharap lebih ramai pendaki yang akan mengikut jejak langkahnya untuk membawa haiwan peliharaan ketika mendaki.

“Selain menanggung beban beg yang lebih berat disebabkan kelengkapannya, pendaki juga perlu bijak mengimbangi badan sewaktu mendaki atau menuruni cerun supaya haiwan tidak terkesan.

“Meskipun begitu, ia menjanjikan satu pengalaman mendaki yang sangat menarik dan berbeza berbanding kebiasaan,” tuturnya.

Jibek yang dipercayai satu-satunya kucing peliharaan berjaya menawan 30 puncak bukit dan gunung di negara ini turut berdepan pelbagai cabaran dalam pendakian termasuk berlapar dan digigit pacat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN