Badan Kehakiman disiasat: Kes mahkamah seluruh negara tidak terganggu - Utusan Malaysia

Badan Kehakiman disiasat: Kes mahkamah seluruh negara tidak terganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kes-kes di hadapan semua mahkamah akan berjalan seperti biasa sementara Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang dibentuk Kabinet semalam menjalankan penyiasatan terhadap Badan Kehakiman.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata, semua kes di seluruh peringkat mahkamah atasan dan rendah akan terus didengar dan diputuskan oleh pihak mahkamah. 

Menurutnya, penubuhan RCI tidak bermaksud penangguhan kesemua kes secara automatik atau menyeluruh akan berlaku. 

“Sebarang permintaan bagi penangguhan apa-apa kes hendaklah dibuat oleh pihak-pihak kepada mahkamah yang berkenaan secara lazimnya. 

“Sememangnya menjadi suatu fungsi kehakiman yang lazim untuk seorang hakim memutuskan sama ada mana-mana penangguhan seharusnya ditolak atau dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memperjelas persoalan kesan ke atas kesemua prosiding yang masih berjalan di mahkamah-mahkamah di negara ini selepas kabinet mengumumkan pembentukan RCI bagi membuat penyiasatan terhadap Badan Kehakiman semalam.

Mengulas lanjut, Tommy berkata, urusan-urusan lazim di kesemua mahkamah berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penangguhan diberikan oleh pihak mahkamah dalam keadaan sedemikian.

“Litigan berhak agar kes-kes mereka didengar dan diputuskan di mahkamah. 

“Para hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu,” katanya.

Tommy menegaskan, hujahan bahawa prosiding- prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu siasatan RCI diselesaikan tidak berasas dari segi fakta mahupun undang-undang. 

Beliau turut berharap agar spekulasi orang ramai berhubung perkara itu dapat dihentikan memandangkan RCI bakal ditubuhkan tidak lama lagi dan seterusnya memulakan pertimbangan terhadap siasatan itu.

“RCI seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang penting secara tenang dan terkawal,” katanya.

Sementara itu, Tommy berkata, penelitian terkini ke atas cabang kehakiman kerajaan bukanlah yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

Katanya, sebelum ini, dua tribunal telah ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman terhadap enam orang hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988.

“Pada tahun 2007, sebuah RCI berhubung klip video V.K. Lingam telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN