KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pihak berkuasa berkaitan dan operator bot serta feri disaran melakukan audit keselamatan terhadap kenderaan air digunakan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan termasuklah kebakaran.
Saranan itu disuarakan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye yang turut mencadangkan supaya Jabatan Laut Malaysia mengarahkan semua operator feri serta bot melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian kenderaan air masing-masing.
“Insiden kebakaran sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis pukul 2.50 petang ini seharusnya membuka mata semua pihak mengenai kepentingan aspek keselamatan.
“Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun harus menjadi peringatan kepada semua pihak tentang kepentingan aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye memberitahu, operator feri terbabit seharusnya mempunyai pelan kecemasan untuk menyelamatkan para penumpang, pelancong serta kakitangannya sekiranya kemalangan berlaku terhadap feri atau bot mereka.
“Antara lain, mereka perlu melaksanakan latihan keselamatan dan evakuasi sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mereka agar semua kakitangan bersedia untuk menghadapi sebarang jenis kecemasan,” jelas beliau.
Menurut Lam Thye, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menetapkan majikan termasuk operator feri serta bot menjalankan tanggungjawab menyediakan tempat kerja selamat untuk pekerja, orang yang melawat dan menggunakan kemudahan terbabit termasuk penumpang dan pelancong. – UTUSAN ONLINE










