AS, Rusia gantung perjanjian INF - Utusan Malaysia

AS, Rusia gantung perjanjian INF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 2 Feb. – Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan untuk menggantung pembabitan negara ini dalam Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 dengan Rusia selama enam bulan, me­lainkan Moscow tidak lagi me­langgar perjanjian ber­kenaan.

Moscow tidak menunggu lama membalas tindakan Wa­shing­ton apabila Presiden Vladimir Putin hari ini mengumumkan Rusia turut menggantung pembabitannya dalam INF.

Langkah itu dipercayai akan menjadi titik tolak kepada perbincangan antara Washington dan sekutunya berhubung penghantaran peluru berpandu Amerika yang baharu.

Ketika menjelaskan keputusannya, Presiden Donald Trump menuduh Moscow me­langgar perjanjian INF ‘secara sewenang-wenangnya’ dengan membekalkan peluru berpandu terlarang.

Moscow bagaimanapun menafikan dakwaan Washington dan menuduh AS menghalang usahanya untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Parti Demokrat di Dewan Kongres dan kumpulan penyokong senjata mengkritik keputusan Trump itu yang dipercayai mendorong kepada perlumbaan senjata.

“Ancaman AS untuk menamatkan perjanjian itu tidak akan menjadikan Rusia patuh dan boleh mencetuskan perlumbaan peluru berpandu baharu berbahaya antara Amerika dan Rusia di Eropah dan selanjutnya,” kata Persatuan Kawalan Senjata Swasta dalam satu kenyataan.

Trump dalam pada itu berkata, Amerika akan melangkah maju dengan membangunkan pilihan tindak balas tenteranya sendiri terhadap peluru berpandu balistik Rusia yang boleh menjadikan barat Eropah sebagai sasarannya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo sementara itu memberitahu, AS akan memaklumkan perkara terbabit secara rasmi kepada Rusia, hari ini.

“Ini bermakna, bermula hari ini, AS akan menangguhkan perjanjian INF untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Pompeo menambah, sekiranya Rusia akur dengan tuntutan AS dan tidak membuat sebarang pelanggaran dalam tempoh itu, maka penangguhan itu dianggap sah dan ‘selamat’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN