DALAM tempoh empat tahun berselang, penyanyi Linda Rafar diduga dengan dua kematian insan tersayang dalam hidupnya. Kehilangan yang meninggalkan impak mendalam dan membikin jiwanya galau.
Kesedihan dek pemergian arwah anak kesayangan, Rezaimin Keifli atau Memen empat tahun lalu belum terubat lagi, kini dia diduga lagi. Arwah ibu, Rasimah Abd. Rahman baru saja dijemput Ilahi pada 11 Januari lalu.
Cuma kali ini kesedihan dialami agak berbeza. Perit yang dialami berlipat kali ganda kerana dia berdepan dengan insiden mengaibkan terjadi pada hujung hayat arwah ibu.
Sedangkan niatnya hanya satu. Dia mahu hanya mahu mempertahankan hak ibunya yang pada waktu itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan.
“Setiap anak akan melakukan perkara yang sama seperti saya. Seboleh-bolehnya mahu membalas jasa ibu yang telah membesarkan kita sejak lahir.
“Apa yang berlaku kepada arwah ibu pada akhir hayatnya itu tak boleh terima. Dia tidak layak diaibkan sebegitu,” kata Linda, 41, pada satu sidang akhbar yang dianjurkan baru-baru ini.
Mengutamakan soal maruah dan reputasi keluarga, bekas anggota kumpulan Elite ini tidak rela kisah ibunya itu dipersendakan masyarakat luar. Oleh itu, dia perlu segera mengakhiri perang berkenaan.
Caranya dengan menggunakan saluran perundangan sebagai cara terbaik untuk penyelesaian masalah. Itu merupakan penyelesaian terbaik yang paling efisien untuk menyedarkan banyak pihak.
Mahu memberi pengajaran kepada semua, Linda percaya keputusan itu akan membuatkan banyak pihak lebih bertanggungjawab atas perbuatan. Setiap pengguna laman sosial tidak terlepas daripada peruntukan undang-undang.
“Saya bukan mahu terkejar-kejar menjadi artis pertama di Malaysia yang menyaman warganet. Tapi apa yang terjadi ini sangat keterlaluan apabila maruah keluarga seakan-akan dipijak orang luar.
“Siapa mereka yang mahu menghukum saya dan keluarga sewenang-wenangnya. Atas sebab itu, saya nekad untuk menoktahkan peperangan buli siber ini,” tegasnya.










